Menurut hasil kajian Institut Darul Ehsan (IDE), sokongan terhadap pembangkang meningkat tetapi menurun semula setiap kali diadakan persempadanan semula oleh SPR.
Menurut Timbalan Pengerusi IDE, Prof Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman, sejak dua Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, sokongan pembangkang semakin stabil, menghampiri undi yang diperolehi oleh BN sekaligus menafikan majoriti 2/3 yang dimenangi selama ini.
“Dalam konteks politik di Malaysia, undi popular tidak semestinya diterjemahkan dengan jumlah kerusi. Contoh pada tahun 2004, walaupun BN hanya mendapat 63.8 peratus undi popular tetapi kerusi di Parlimen 90.4 peratus.
“Sebab itu walaupun Pakatan mendapat sehingga 58 peratus undi popular, belum tentu boleh menang Putrajaya.
“Dengan persempadanan yang ada ini, pada perkiraan yang saya buat, BN perlu 35 peratus sudah boleh memerintah Malaysia. Tidak payah sampai 58 peratus.
“Setiap kali persempadanan diadakan, BN mencapai kemenangan besar. Antara yang memainkan peranan memenangkan BN adalah SPR,” katanya ketika membentangkan hasil kajian tersebut.
Selain itu kata Redzuan, jumlah hari berkempen juga mempengaruhi sokongan untuk menentukan parti mana yang akan mentadbir kerajaan dan ianya telah dibuktikan dalam dua PRU yang lalu.
“Antara penyumbang besar kepada BN dalam PRU 2004 adalah tempoh kempennya amat singkat iaitu lapan hari sahaja. Calon tidak sempat untuk buat poster dan berkempen.
“Antara kesilapan besar (Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi) Pak Lah pada 2008 adalah membenarkan kempen selama 13 hari. Pada ketika itu, sokongan terhadap BN turun sebanyak 3 peratus setiap hari.
“Kalau dibuat kempen 15 hari ketika itu, BN tumbang pada 2008 tetapi kalau lama sangat pun tidak menjadi juga. 15 hari sesuai,” ujarnya.