Bina petempatan haram, 132 PATI ditahan

SHAH ALAM: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 132 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk warga negara Indonesia dan Bangladesh menerusi operasi bersepadu bersama lapan agensi lain di Setia Alam, di sini, awal pagi ini.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Jafri Embok Taha berkata, operasi penguatkuasaan yang bermula jam 2.38 pagi itu mensasarkan sebuah kawasan tanah persendirian dijadikan penempatan haram PATI, kira-kira empat tahun lalu.

“Kawasan ini adalah sebuah kawasan penempatan haram bagi warganegara asing.

“Warganegara asing ini dipercayai telah lama membuka penempatan haram dengan keluasan berjumlah 300 meter x 500 meter persegi.

“Ia bagaikan satu perkampungan kecil hingga terdapat fasiliti termasuk kedai runcit, warung makan dan surau,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Operasi Pemeriksaan Imigresen ini melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan terdiri daripada 220 keanggotaan.

Antaranya JIM Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor.

Menurut beliau, berdasarkan risikan dan pemantauan yang telah dijalankan, pihaknya mengesyaki terdapat kira-kira 300 warganegara Indonesia yang menetap dalam penempatan itu.

“Mereka menyewa tanah itu secara berkongsi dan setiap bulan pemilik tanah akan mengutip bayaran antara RM1,000 hingga RM2,000 bagi setiap bahagian.

“Dalam kawasan itu, terdapat tiga bahagian penempatan warga asing yang mempunyai ketua kampung masing-masing,” katanya.

Katanya, semua PATI yang ditahan akan dibawa Bahagian Penguatkuasa JIM Selangor untuk saringan melalui Sistem Jabatan bagi semakan dokumen dan Pas sebelum dimuktamadkan proses tangkapan untuk dihantar ke Depot Imigresen Semenyih.

“Laporan Polis akan dibuat atas penangkapan dan penahanan mereka di bawah Seksyen 51 (5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) untuk reman penahanan 14 hari.

“Kertas siasatan akan dibuka bagi tujuan siasatan lengkap untuk dimajukan kepada Yang Arif Timbalan Pendakwa Raya JIM bagi arahan dan keputusan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia