Bersih 5.0: 11 lagi ditahan, empat kertas siasatan dibuka

Antara yang ditahan adalah Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How; aktivis sosial, Hishamuddin Md. Rais dan Fahmi Reza serta Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

Tian Chua ditahan kira-kira pukul 10.50 malam di rumah­nya di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh (gambar) berkata, kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 147 atas kesalahan merusuh dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan iaitu percubaan hendak melakukan kesalahan yang boleh dipenjara.

Ujarnya, selain itu, enam lagi merupakan peserta himpunan yang berumur antara 33 tahun hingga 49 tahun ditahan selepas didapati melanggar peraturan berhimpun kerana memiliki senjata berjadual selain melakukan keganasan dan menggunakan dron.

“Empat kertas siasatan dibuka sepanjang perhimpunan berkenaan iaitu di bawah Seksyen 143 Peraturan-peraturan Penerbangan Awam, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Satu lagi kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 147 dan 511 Kanun Keseksaan kerana berhasrat mencetus rusuhan, pecah keamanan selain menggugat ketenteraman awam dibuat berdasarkan laporan oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah pada Khamis lalu.

“Sebanyak 28 laporan polis dibuat iaitu 20 laporan membabitkan tangkapan dan lapan laporan am. Kita juga merampas sebilah parang dan satu buku lima,” katanya dalam satu kenyataan pada sabtu.

Mengulas mengenai perhimpunan haram tersebut, Amar Singh menganggarkan kira-kira 15,500 peserta baju kuning dan lebih kurang 2,500 orang peserta memakai baju merah hadir untuk berhimpun.

Jelasnya, kedua-dua perhimpunan itu berlangsung seperti yang dirancang dan dijadualkan oleh kumpulan masing-masing walaupun larangan telah dikeluarkan dan menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas luar biasa.

Ujarnya, sepanjang perhimpunan itu juga, pihaknya mengesan peserta perhimpunan turut membawa kanak-kanak yang menyalahi peruntukan di bawah Seksyen 4(2)(f) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Tambahnya, sehingga pukul 6 petang, suasana di sekitar Kuala Lumpur terutamanya di Dataran Merdeka terus terka­wal dan peserta perhimpunan telah bersurai, memetik Utusan Online.

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Polis Percaya Hanya Seorang Dalang ‘Molotov Cocktail’ Sungai Isap