Profesor ekonomi di Pusat Pengajian Perniagaan Sunway University Dr Yeah Kim Leng berkata ini berikutan terdapat perubahan dalam jangkaan ekonomi AS selepas pemilihan Donald Trump sebagai Presiden AS ke-45.
“Ketidakstabilan yang meningkat dijangka berlaku di kebanyakan pasaran pesat membangun berikutan pelabur tidak pasti mengenai dasar-dasar AS apabila Trump mengambil alih jawatan Presiden.
“Bagaimanapun, ketidakstabilan itu berbeza di setiap negara. Seperti Malaysia, pelaburan asing dalam pasaran bon, terutamanya dalam sekuriti kerajaan, akan menyaksikan aliran keluar yang meningkat,” katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur pada Isnin.
Yeah berkata ini juga akan menyebabkan ringgit lemah.
“Bagaimanapun, kami berpendapat ini hanya antara keadaan yang akan berlakudalam pasaran kewangan Malaysia, seperti sebelum ini, kita dapat menghadapi aliran keluar ini.
“Apa yang diperlihatkan ringgit ialah pelabur Malaysia dan asing berusaha untuk melindung nilai pegangan mata wang mereka disebabkan permintaan yang meningkat terhadap dolar AS,” kata Yeah.
Pada 2 petang, ringgit disebut pada 4.3250 berbanding dolar AS, tidak berubah sejak dibuka hari ini. –Bernama