BERSATU seperti ‘luncai’, hanya parti serpihan dalam pembangkang

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata BERSATU yang diterajui oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu tidak mungkin dapat menang kerusi paling banyak dalam Pakatan Pembangkang.

Malah kata Annuar, Pakatan Pembangkang yang terdiri daripada DAP, PKR dan AMANAH juga sukar untuk memberikan laluan kepada BERSATU untuk bertanding di kerusi-kerusi yang secara tradisi sudah menjadi milik mereka.

“Muhyiddin kata parti dia (BERSATU) akan ganti perjuangan UMNO. Kalau nak ganti UMNO berapa kerusi dia dapat bakal bertanding (PRU akan datang)? Adakah DAP, AMANAH, PKR dan PAS akan beri laluan kepada dia, sudah tentu tidak.

“Kalau (BERSATU) boleh menang paling banyak 50 kerusi (Parlimen) adakah parti ini boleh menentukan corak pentadbiran negara?

“Kalau tidak boleh jadilah parti si luncai yang menang sorak kampung tergadai,” katanya ketika berucap di majlis Pemimpin Bersama Akar Umbi Peringkat Negeri Melaka di Ayer Keroh di sini.

Menurut Annuar, UMNO ditubuhkan atas dasar perjuangan membela Melayu dan masyarakat negara ini secara keseluruhannya dan berbeza dengan BERSATU yang ditubuhkan atas dasar kemarahan beberapa individu tertentu.

Malah, ahli Parlimen Ketereh itu juga mengalu-alukan tindakan ahli UMNO yang meninggalkan parti untuk menyertai BERSATU dan menyifatkannya sebagai proses pembersihan dalam parti.

“Bagus juga ada parti seperti ini (BERSATU) yang membersihkan, mencuci ahli dalam parti kita, seperti ‘parti majlis bandar raya’,” katanya.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri