Sedih dengan kejadian itu, Nazir mengambil keputusan memelihara seorang bayi angkat perempuan. Bagaikan jatuh ditimpa tangga, keluarganya sekali lagi ‘diuji’ apabila doktor mengesahkan bayi itu menghidap austisme pula. Namun Nazir dan isterinya redha menerima ketentuan Illahi. Mereka nekad, biar apapun yang terjadi, anak itu tetap anugerah Tuhan dan adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk memeliharanya dengan penuh kasih sayang.
Walaupun cabaran untuk membesarkan anak syurga itu bukan mudah, namun Nazir perasan ada semacam satu ‘anugerah’ lain yang hadir tanpa diduga dalam dirinya.
“Arwah datuk dan ayah saya adalah penjual daging di pasar Kulim dan pasar Chai Leng Park. Ketika saya di sekolah menengah, bapa saya kena angin ahmar hingga saya terpaksa menamatkan persekolahan ketika baru berada di tingkatan empat untuk membantu adik-adik yg masih sekolah.
“Bayangkan dalam usia semuda 16 tahun, di saat kawan-kawan lain bersuka-ria menikmati waktu remaja mereka, saya terpaksa mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga dan bertungkus-lumus dengan pisau, bau hamis darah di pasar tersebut sebagai penjual daging.
“Satu hari seorang lelaki berketurunan India menemui saya di pasar dan mencadangkan agar saya menjadi penternak. Bukan saja itu, dia juga memberi saya 500 ekor kambing dan 150 ekor lembu sebagai ‘modal permulaan’ bila saya memberitahunya saya tidak ada wang untuk berbuat demikian. Bayarlah bila cukup duit, katanya.
” Allah maha kaya. ‘berkat’ saya memelihara ‘anak syurga’ ini, dalam tempoh 10 tahun ternakan saya bertambah berkali-kali ganda. Di ladang saya saja kini ada 3,000 ekor kambing dan lebih 500 ekor lembu. Jualan syarikat juga mencecah RM25 juta!,” kata bekas pelajar Bukit Mertajam High School ini.
Penulis sempat menemui Nazir di ladang ternakan miliknya yang seluas dua ekar itu di Kg. Bukit Payung, Sungai Kob, Kulim, Kedah petang tadi. Selain ladang, Nazir juga membuka pejabat dan pasarayanya sendiri di Taman Mutiara, Karangan.
Bila ditanya mengenai ‘rahsia’ kejayaannya, beliau mengakui adik beradik, isteri dan keluarga adalah tulang belakang di sebalik kejayaan beliau selama ini.
Di samping itu, pengalaman menjadi penjual daging sejak remaja dan kesanggupan untuk belajar benda baru juga pemangkin pada pencapaian tersebut.
“Saya sekolah pun tak habis, apalah sangat yang saya tahu. Tetapi itu semua tak menghalang saya untuk belajar segala-galanya dalam bisnes ini. Logisitik, pengangkutan, akaun, pengurusan… pendek kata, saya kena dan perlu tahu semua benda yang berkaitan.
“Alhamdulillah adik lelaki saya, Nurul juga tak kenal erti lelah dalam memastikan bisnes ini berjaya, siang malam bekerja demi memastikan survival bisnes keluarga ini,” ujar Nazir.
Ditanya mengenai prospek dunia penternakan haiwan di negara ini, Nazir memberitahu ia mempunyai masa depan yang cerah tetapi tidak ramai yang mampu bertahan.
Paling dikesali ramai yang mahu untung cepat dan tidak memperlengkapkan ilmu pengetahuan yang cukup bila menceburi bidang penternakan ini.
“Bau busuk dan hancing adalah dunia kami. Kalau benda asas mcm tu pun dah tak sanggup, macam manalah nak berjaya dalam bidang penternakan ini. Tetapi kalau bersungguh-sungguh berusaha, tak mustahil anda mampu mengumpul kekayaan yang bukan sedikit jumlahnya.
“Kekuatan syarikat kami adalah harga dan juga kualiti haiwan yang kita ternak di mana seekor kambing dijual dalam lingkungan RM600-RM800 dan lembu sekitar RM3,800 seekor.
“Dari segi kualiti, ia sentiasa dipantau Jabatan Veterinar dan kami sendiri sentiasa memastikan kesihatan haiwan-haiwan kami. Tiada kompromi soal itu,” kata pemilik Ternakan N&A Wawasan Sdn Bhd ini. Nazir boleh dihubungi di talian 019- 4146141 atau emel di nazirali@tnawsb.com.
Sebelum beredar, penulis teringat Surah Al-Baqarah ayat 216,
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui”
Memang luar biasa!