Noriah, 34, berkata kejadian yang berlaku dianggap takdir dan dia redha dengan apa yang terjadi terhadap suaminya.
“Saya dan keluarga juga meminta agar orang ramai berhenti menyalahkan adik ipar dengan bermacam-macam tuduhan kerana dia juga tidak menginginkan kejadian ini,” katanya.
Noriah yang kini sedang hamil anak sulung juga melauhkan rasa lega selepas mendapat berita mengenai penangkapan suspek bunuh suaminya pada Rabu.
Jelasnya dengan penangkapan suspek, dia kini boleh tidur lena dan berterima kasih kepada pihak polis.
“Kami kini tidak lagi hidup dalam ketakutan selepas lelaki yang menikam arwah suami ditangkap hari ini (Rabu).
“Sebelum ini, saya memang tidak lena tidur kerana risau memikirkan keselamatan memandangkan suspek masih lagi bebas.
“Saya risau suspek akan datang ke sini mencari keluarga untuk mengapa-apakan kami namun syukurlah polis berjaya menangkapnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kok Keli, di Tumpat, memetik BH Online.
Suspek yang dikenali sebagai Hafiz ditahan pada di tepi jalan di Kampung Petai Bubus, Manir, Terengganu, kira-kira jam 12 tengah hari tadi oleh sekumpulan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Terengganu.
Pada 16 Oktober lalu, Mohamad Shukri ditikam suspek selepas berlaku pertengkaran di kawasan tempat letak kereta di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu.