KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata cadangan Beras Putih Malaysia Madani boleh menyekat campur tangan kartel beras.
“Tidak (benar dakwaan wujud campur tangan kartel), ini (Beras Madani) boleh sekat campur tangan kartel,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran program Memperkasakan PKS, ‘myimpact SME Hub’ di Kuala Lumpur, hari ini.
Anwar mengulas dakwaan Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh semalam yang menggesanya tidak membenarkan cadangan beras putih Malaysia Madani dilaksanakan kerana ia akan menghapuskan beras putih tempatan yang lebih murah di pasaran.
Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka berkata, cadangan asal oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal itu seperti menyokong perbuatan kartel yang mencampurkan beras tempatan dan beras import.
Sementara itu, Anwar berkata kerajaan belum membuat ketetapan mengenai cadangan mewujudkan Beras Malaysia Madani yang diumumkan Syed Abu Hussin sebagai pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup (Naccol).
“Ia akan dibincangkan dalam Naccol dan belum ada keputusan,” katanya lagi.
Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, juga berkata kerajaan belum memutuskan pengenalan satu gred beras putih dikenali beras putih Malaysia Madani yang diumumkan jawatankuasa menangani harga makanan dan kos sara hidup, Rabu lalu.
Menjelaskan kekeliruan pengumuman oleh Syed Hussin, Mohamad berkata sebarang ketetapan harus berpandukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dan dimaklumkan kepada kabinet.
Pengumuman Syed Hussin berhubung penjualan beras putih Malaysia Madani berharga RM30 bagi kampit 10kg mulai 1 Mac ini, menggantikan beras putih tempatan (SST) dan beras putih import (SSI) menimbulkan persoalan ramai termasuk Pengarah Urusan Mydin Ameer Ali Mydin yang meminta penjelasan lanjut.
Anwar pada Jumaat lalu juga berkata, mesyuarat Naccol, pada Jumaat akan memutuskan muktamad tentang harga beras dikawal. -Malaysiakini