Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun kepada pemberita selepas pengurusan kes saman fitnah membabitkan Najib dan bekas presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk John Louis O’Hara hari ini.
Mohd Hafarizam berkata, beliau mendapat arahan daripada perdana menteri semalam untuk menyiapkan dan menyerahkan surat tuntutan kepada Naib Presiden PKR itu secepat mungkin.
Mohd Rafizi, yang juga Setiausaha Agung PKR didakwa mengeluarkan kenyataan itu ketika perhimpunan mansuh GST di Dataran Merdeka, 2 April lepas.
Sementara itu, Mohd Hafarizam berkata kes saman Najib terhadap Dr Liong Sik akan didengar di hadapan hakim lain berikutan O’Hara hari ini menarik diri daripada mendengar kes saman berkenaan.
Katanya, hakim itu menarik diri untuk mengelakkan salah tanggapan masyarakat kerana beliau dan Dr Liong Sik merupakan alumni Maktab Tentera Diraja iaitu Persatuan Bekas Putera.
Peguam itu berkata, keputusan O’Hara itu tidak dibantah oleh pihaknya dan juga peguam Villie Nethi, mewakili Dr Liong Sik.
“Kes berkenaan akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nor Bee Ariffin tetapi masih belum ada tarikh yang ditetapkan untuk sebutan kes itu,” kata Mohd Hafarizam.
Najib memfailkan saman terhadap Dr Liong Sik atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya yang disiarkan menerusi satu artikel dalam sebuah portal berita pada 3 Oktober tahun lepas.
Pada 27 Oktober tahun lepas, Najib menyaman Dr Liong Sik selaku defendan, antara lain memohon perintah supaya bekas menteri pengangkutan itu menyiarkan kenyataan memohon maaf dalam akhbar atau majalah yang dikenal pasti oleh Najib, dalam bentuk dan terma yang akan ditentukan olehnya.
Najib juga memohon perintah injunksi untuk menghalang Dr Liong Sik atau melalui kakitangan atau ejennya daripada terus menuturkan atau menyiarkan apa-apa kenyataan berbaur fitnah atau apa-apa perkataan berbaur fitnah yang serupa terhadapnya.
Beliau juga memohon ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Najib mendakwa Dr Liong Sik telah secara palsu dan berniat jahat mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya semasa menghadiri satu upacara di sebuah kolej universiti di sini, yang disiarkan menerusi satu artikel dalam sebuah portal berita pada 3 Oktober 2015.
Katanya, perkataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau (Najib) menyalahgunakan dana kerajaan ke dalam akaun peribadi untuk kepentingan peribadi, menyalahgunakan dana kerajaan milik sebuah syarikat pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta tidak kompeten atau layak menjadi ketua kerajaan atau perdana menteri Malaysia. – Bernama