Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata tindakan itu akan dijalankan dengan menggunakan kemampuan dan kuasa penguatkuasaan yang sedia ada.
“Antaranya tindakan demikian boleh diambil melalui peruntukan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009; Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA),” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama pada Sabtu.
“Pada hemat saya, faktor utama yang mendorong gejala rasuah semakin berleluasa adalah kerana sikap tamak pada golongan yang mempunyai kuasa dan kedudukan sama ada dalam kalangan mereka yang berjawatan tinggi mahupun rendah.
“Bila motivasi mereka melakukan rasuah iaitu harta dan wang, maka SPRM perlu memastikan bahawa apa saja perolehan yang diperoleh dengan hasil rasuah dan juga salah guna kuasa ini perlu dirampas, disita dan dilucuthakkan kepada kerajaan, bukan sekadar mereka ini dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Dzulkifli berkata bagi memastikan tindakan itu lebih berkesan, pembekuan harta boleh dibuat walaupun seseorang itu baru menjadi suspek dan kesnya masih dalam siasatan.
“Ketika kes itu dalam siasatan, harta milik seseorang yang disiasat itu boleh dibekukan berdasarkan akta-akta berkenaan. Ini kerana kita tidak mahu bila kita siasat dia akan jual (harta), jadi menyusahkan kita untuk mengesannya (harta) dan lagi lambat kita beku harta itu lagi jauh ia akan pergi dan lagi ramai akan terlibat,” katanya.
Jelasnya, berdasarkan peruntukan di bawah Akta SPRM, harta seseorang suspek boleh dibekukan sehingga 90 hari dan jika ada alasan munasabah boleh dilanjutkan sehingga sembilan bulan lagi.
Di bawah AMLA pula harta yang dipercayai diperoleh secara rasuah dan salah guna kuasa boleh dibekukan sehingga 18 bulan.
“Jika kita berpendapat bahawa terdapat kes jenayah yang kuat, maka kita buat pertuduhan di mahkamah dan pada masa yang sama harta itu akan jadi ‘subject matter’ kepada pertuduhan dan sehingga akhir perbicaraan, sekiranya mahkamah memutuskan untuk melucutkan hak, maka ia akan dilucutkan hak,” katanya.
Dzulkifli berkata tindakan pembekuan harta tidak terhad kepada harta yang dimiliki pelaku rasuah, tetapi boleh diambil terhadap harta yang telah dipindah milik kepada anggota keluarga pelaku, sekiranya ia dipercayai diperoleh melalui perbuatan rasuah dan salah guna kuasa.
Pada masa yang sama katanya, mereka yang membenarkan nama digunakan untuk pesalah menyembunyikan aset yang diperoleh secara rasuah dan salah guna kuasa juga tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan.
Ini kerana, katanya, hukuman penjara sahaja tidak mencukupi sekiranya pesalah yang telah memperoleh ribuan malah jutaan ringgit, masih lagi memiliki harta tersebut selepas mereka menjalani hukuman penjara.
“Bila keluar penjara, walaupun bekas banduan, mereka ini juga bergelar jutawan, duit banyak, pakaian mahal pandu kereta mewah, kalau ke hotel berlari orang bukakan pintu. Begitu juga bila dia pergi bank, dia akan dapat layanan istimewa kerana duit dia banyak berbanding penjawat awam lain, mungkin juga Ketua Pesuruhjaya (SPRM) sebab duit Ketua Pesuruhjaya tak ada, kena beratur ambil nombor giliran lagi,” katanya dalam nada bergurau.
Dzulkifli berkata langkah melucutkan hak harta itu diharap dapat menjadi faktor menghalang seseorang, khususnya penjawat awam daripada melakukan rasuah dan salah guna kuasa berdasarkan kadar risiko yang perlu ditanggung.
Dzulkifli berkata selain tindakan terhadap penerima rasuah, tindakan serius juga akan diambil terhadap pemberi rasuah, khususnya pemberi bersindiket.
“Pemberi bersindiket memang bertujuan untuk merasuah agar penguat kuasa tidak ambil tindakan. Jadi dalam keadaan ini kita akan ambil tindakan bukan hanya kepada penerima, malah kepada pemberi melalui akta-akta lain termasuk Akta Kastam atau Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya.
Tegas Dzulkifli, dalam melaksanakan usaha itu, SPRM akan bersikap lebih proaktif dan tidak akan menunggu laporan dibuat mengenai salah laku rasuah untuk memulakan langkah pencegahan.
“Sebenarnya kita sudah ada maklumat mengenai mana-mana penjawat awam atau yang terlibat dengan agensi kerajaan yang hidup melebihi kemampuan, cuma menunggu masa untuk bertindak,” tegasnya.
Malah katanya, SPRM juga menyimpan profil individu pesalah rasuah yang telah menjalani hukuman penjara dan mereka ini akan sentiasa dipantau SPRM.
Mengenai tahap pelakuan rasuah di negara ini, Dzulkifli menyifatkan Malaysia tidak seteruk di beberapa negara lain namun apa yang merisaukan beliau ialah sekiranya rasuah diterima sebagai kebiasaan atau keperluan dalam kalangan rakyat.
“Apabila rasuah diterima sebagai kebiasaan atau keperluan ia akhirnya akan membebankan rakyat,” katanya. – Bernama