BUTTERWORTH: Bekas pengetua sebuah sekolah agama mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan seks luar tabii terhadap kenalannya pada Januari lalu.
Tertuduh berusia 41 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii iaitu dengan memasukkan zakar ke dalam mulut seorang penuntut berusia 20 tahun.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah unit kondominium di Lorong Perda 3, Bukit Mertajam dalam daerah Seberang Perai Tengah pukul 3.48 petang pada 26 Januari lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sampai 20 tahun dan disebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala tertuduh diwakili peguam, Muhaimin Hashim.
Ketika prosiding Mohammad Syafiq tidak menawarkan jaminan dengan alasan ia kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, Muhaimin memohon budi bicara mahkamah dengan membenarkan anak guamnya yang kini merupakan peniaga pisang goreng diberi jaminan bersyarat selain mengambil kira faktor tertuduh memberi kerjasama baik kepada polis sepanjang siasatan.
Noor Aini kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat tambahan tertuduh dilarang mendekati mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai serta diwajibkan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 22 Mac depan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.
Sementara itu, di luar mahkamah, Muhaimin memberitahu, anak guamnya mengenali mangsa sejak beberapa tahun lepas dan kejadian berlaku di unit kediaman yang disewa mangsa sendiri. – MalaysiaGazette