Saeden Wateh, 64 atau lebih mesra dengan panggilan Pak Den kini menderita sakit jantung ditambah dengan tahap kesihatannya yang kian merosot sejak tiga tahun lalu.
Pak Den berkata, dirinya kecewa kerana nasibnya kini seakan tidak diendahkan oleh mereka yang pernah dibantunya sebelum ini.
“Kalau keluar surat khabar, tentu orang-orang yang pakcik pernah tolong dulu, kenal. Kalau mereka ingat, mungkin mereka sudi bantu.
“Pak Den pernah berkhidmat dengan Anwar Ibrahim sebagai pengawal peribadi bukanlah secara rasmi tapi ada juga diberi bayaran. Sama-sama turun ketika zaman reformasi memperjuangkan beliau. Tapi bila saya sakit, tiada siapa pun dalam PKR yang ambil berat.
“Pak Den putus harapan nak berminta-minta. Ada juga kawan-kawan politik yang masih sudi bantu termasuk Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Seri Zahid Hamidi,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Tambah Pak Den, dia memerlukan wang pendahuluan RM10,000 untuk membiayai pembedahan jantung di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Kos sebenar mungkin dalam RM30,000. Bil hospital kira-kira RM700 pun entah macam mana nak bayar,” katanya.
Dia kini hanya bergantung hidup pada perniagaan runcit yang diusahakannya sambil dibantu anak.
Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Pak Den di talian 016-2657320 atau salurkan bantuan melalui akaun Maybank 162263423382 atas nama Shafitrah Saeden (anak) – 0172567843.