Bebaskan penjawat awam dari rasuah, itu ikrar KP SPRM baru

Ketua Pengarahnya yang baru, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, beliau menetapkan fokus tersebut sebaik sahaja mengambil alih kepimpinan dari Tan Sri Abu Kassum baru-baru ini.

“Penumpuan akan diberikan kepada agensi penguatkuasaan, kawal selia, pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan selaras dengan hasrat Program Tansformasi Kerajaan.

Kita tidak mahu perkhidmatan awam dicemari dengan perbuatan rasuah dan ada pegawai kanan yang dilihat berkehidupan mewah melebihi pendapatannya serta mengumpul harta melalui perbuatan jenayah rasuah,” katanya melalui satu wawancara khas bersama Bernama hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, beliau turut memberikan fokus terhadap isu integriti serta tadbir urus perkhidmatan awam.

Menurut beliau, peranan pegawai integriti akan dipertingkatkan bagi tujuan mengurangkan ketirisan dan juga mempertingkatkan sistem perkhidmatan awam kepada satu tahap yang lebih baik.

“Saya berharap tindakan SPRM dalam usaha memerangi rasuah secara punitif dan preventif akan dapat memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam.

“Namun saya sedar perkara ini agak mustahil sekiranya rakyat tidak bekerjasama dengan SPRM. Justeru rakyat perlu sentiasa menyokong dan memberi kerjasama kepada SPRM dalam usaha memerangi rasuah. Ini kerana isu rasuah adalah isu rakyat dan SPRM harus dilihat bersama rakyat dan sebagai pembela rakyat.

“Namun demikian, usaha memerangi rasuah sehingga ke peringkat akar umbi adalah usaha secara kolektif dan tidak harus diletak atas bahu sesebuah agensi penguatkuasaan,” katanya lagi.

Beliau juga mengesahkan bahawa SPRM akan terus menjalankan kerjasama bersama Jabatan Peguam Negara, Jabatan Audit Negara serta agensi-agensi penguatkuasaan yang lain bagi memerangi rasuah.

“Ini adalah usaha untuk memerangi rasuah supaya dijalankan secara holistik sehingga membuahkan hasil yang berkesan,” ujarnya.

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia