Bantuan OKU Kepada Pengemis X70 Ditamatkan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memberhentikan bantuan elaun orang kurang upaya (OKU) kepada seorang penerima selepas terbongkar aktiviti mengemis hingga mampu memiliki Proton X70 Premium.

Timbalan Menterinya, Noraini Ahmad berkata selain elaun RM450 dihentikan mulai bulan ini, pihaknya turut memberikan amaran dan meminta lelaki itu melengkapkan surat aku janji sebagai jaminan tidak mengemis lagi.

“Siasatan lanjut juga mendapati dia kini bekerja di sebuah syarikat bas sebagai penyelia syif dengan anggaran pendapatan RM2,000 sebulan dan sebab itulah individu ini tidak boleh lagi menerima bantuan kebajikan daripada JKM (Jabatan kebajikan Masyarakat),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) berhubung tindakan KPWKM dan JKM terhadap seorang OKU menerima bantuan JKM, namun melakukan aktiviti mengemis dan memiliki Proton X70 yang tular di media sosial baru-baru ini.

Lelaki cacat kedua-dua tangannya itu dilaporkan meraih hingga RM500 dalam tempoh lima jam hasil kutipan sumbangan orang ramai di pasar malam sebelum perbuatan itu dibongkar JKM Maran bulan lalu.

Mengulas langkah jangka panjang KPWKM bagi menangani isu orang papa dan gelandangan, Noraini berkata, kementerian itu sedang melaksanakan Kajian Semakan Semula Akta Orang-orang Papa 1977 dalam usaha menambah baik pengendalian isu berkenaan.

“KPWKM menyasarkan dapatan kajian ini akan diguna pakai sebagai asas pertimbangan dalam merasionalkan ketetapan berkaitan mekanisme penyelesaian isu pengemisan, gelandangan, aspek pemulihan dan penguatkuasaan.”

Bagi langkah jangka pendek, katanya, KPKWM melaksanakan Op Menyelamat Orang-orang Papa serta-merta, berjadual atau berkala di kawasan “hotspot” seperti pusat bandar raya Kuala Lumpur dengan menjalankan operasi bersepadu selaras pelbagai akta berkaitan.

Beliau berkata, akta itu merangkumi Akta Pungutan Rumah Ke Rumah dan Di Jalan 1947, Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 27 (c) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Peminta-peminta sedekah) serta undang-undang di bawah pihak berkuasa negeri dan tempatan, iaitu Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-undang Kecil.

“Penyelesaian kepada isu ini bukan terletak pada bahu KPWKM semata-mata, sebaliknya kerjasama dan sokongan semua pihak amat dialu-alukan, termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan orang awam.” -Bernama

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia