Banjir air pasang perlu kerjasama Kerajaan Pusat dan negeri – Noh Omar

Perkara itu disuarakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, yang berkata beliau mengetahui banjir berkenaan berlaku selepas beberapa ban di kawasan itu pecah menyebabkan air laut melimpah.

Jelasnya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga perlu mengkaji dalam usaha menambah baik ban yang dibina di pesisiran pantai Selangor bagi mengelakkan masalah sama berulang.

“Saya akan bawa perkara ini ke Kabinet untuk lihat kaedah menambah baik ban ini dan kita harap kerajaan negeri akan beri kerjasama untuk kebajikan rakyat Selangor khususnya yang tinggal di persisiran pantai,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-39 Pertubuhan Peladang Negeri Selangor 2016, di Shah Alam pada Isnin.

Noh yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, berkata beberapa kawasan di lima daerah di negeri itu mengalami banjir kilat selepas negara mengalami fenomena air pasang besar.

Sehubungan itu, katanya, beliau sudah mengarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Beberapa kawasan di pesisir pantai Selangor, dari Sabak Bernam hingga ke Sepang mengalami banjir kilat semalam selepas fenomena air pasang besar menyebabkan peningkatan paras air laut hingga 5.6 meter, melebihi had yang mampu ditahan ban yang dibina di kawasan terbabit.

Antara kawasan yang teruk terjejas ialah Kampung Tok Muda di Kapar; Kampung Sungai Serdang dan Pendamaran di Klang; Pantai Klanang di Banting; Pantai Remis dan Kampung Sungai Sembilang di Kuala Selangor selain beberapa kawasan di Sabak Bernam dan Tanjong Karang serta Sepang.

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia