Bajet 2017: Tok Him kata bajet ‘roti dan keju’

Perkara berkenaan dinyatakan oleh presiden pertubuhan tersebut, Datuk Ibrahim Ali melalui satu kenyataan yang diedarkan pada Ahad.

“Najib menjelaskan bajet yang dibentangkannya adalah bajet ‘rakyat-centric’ atau berpaksikan rakyat, namun apabila majoriti peruntukan yang beliau umumkan, disasarkan terus kepada warga penjawat awam, anggota pasukan keselamatan, pesawah, petani, pekebun kecil, nelayan, penoreh getah, dan elit masyarakat akar umbi termasuk penolong penyelia Kemas, imam, dan ketua kampung, Perkasa berpendapat bahawa Bajet 2017 adalah bajet roti dan keju untuk rakyat massa, atau bajet yang mengandungi ‘udang disebalik batu’.

“Ini kerana Bajet 2017 memberikan gambaran mungkin PRU14 akan diadakan paling lewat pada suku ketiga tahun 2017,” katanya.

Ibrahim berkata, secara serius, Perkasa mendapati bahawa dalam Bajet 2017 dengan tema agenda memperkasakan ekonomi Bumiputera hanya sekadar melepaskan batuk di tangga.

Beliau berkata, dana mengenai agenda berkenaan yang diumumkan ketika pembentangan bajet Jumaat lalu, tidak membolehkan kerajaan dan agensi-agensinya, untuk melaksanakan program-program yang berimpak tinggi, demi pembangunan ekonomi Bumiputera, bagi menentukan pembahagian kek ekonomi yang adil dapat dicapai.

“Pada waktu yang sama, dalam pembentangan Bajet 2017, tidak juga diperincikan data-data dan statistik mengenai kedudukan ekonomi serta aras pendapatan isi rumah Bumiputera yang terkini.

“Hakikat ini menampakkan kecenderungan kerajaan sekarang kepada ‘need-base policy’ dan bukan kepada dasar pembahagian ‘kek ekonomi’ yang adil di antara kaum di Malaysia,” katanya.

Ibrahim berkata, Perkasa tidak menolak ‘need-base policy’ tetapi berpendapat dalam usaha mencapai pembahagian ‘kek ekonomi’ yang adil, tindakan affirmatif yang agresif wajib dilaksanakan, untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera.

“Dengan ini, Perkasa berpendapat bahawa kaum Pribumi di Malaysia perlu diberikan jumlah dana yang besar, bagi pelaksanaan program-program affirmatif yang lebih holistik dan berkesan,” katanya.

Perkasa juga katanya mendesak pentadbiran Najib supaya membentuk dasar, program dan aktiviti pencegahan rasuah yang lebih holistik, untuk memastikan ribuan juta wang negara, seperti yang diperuntukkan menerusi Bajet 2017, tidak akan tiris dan mengalir ke saku para perasuah, seperti apa yang dibongkar di Sabah baru-baru ini.

“Perkasa menuntut kewujudan dasar, program dan aktiviti anti-rasuah yang lebih komprehensif ini, supaya SPRM mampu melaksanakan tanggungjawabnya dengan lebih telus dan berani, untuk membanteras rasuah di kalangan individu-individu di peringkat tinggi termasuk individu-individu yang dikategorikan sebagai elit kerajaan dan elit politik negara,” katanya.

Perkasa juga mengingatkan Najib agar tidak meminggirkan Melayu dan Bumiputera dalam melaksanakan strategi Transformasi Nasional 2050, atau TN50.

“Perkasa mengingatkan, perlaksanaan TN50 ini hendaklah megambil kira kepentingan Bumiputera; hendaklah tidak sesekali menghakis pelbagai program dan dasar affirmatif untuk Bumiputra, sehingga tercapainya pembahagian kek ekonomi yang adil.

“Lantaran itu, Perkasa mendesak pentadbiran Najib supaya memberikan komitmen serta jaminan tanpa apologi kepada mana-mana pihak, bahawa TN50 akan mememelihara dan mengekalkan kedaulatan sosio-ekonomi Bumiputra, menerusi dasar-dasar affirmatif yang serius, jelas, tegas, dan holistik, menjelang tahun 2050.

Beliau berkata, Perkasa juga akan memantau perkembangan wacana nasional ini, dan kumpulan pendesak Melayu itu juga akan terus menuntut supaya kedaulatan sosioekonomi Bumiputra dijadikan teras kepada dasar-dasar TN50.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri