Kata Najib, keyakinan pelabur sangat penting dalam usaha kerajaan untuk menggerakkan ekonomi negara yang turut terkesan dengan kemerosotan ekonomi dunia.
“Kerajaan sedar tentang desas desus bahawa para pelabur sekarang kononnya tidak lagi berkeyakinan dengan ekonomi Malaysia.
“Ekonomi negara berkait rapat dengan persepsi, sebabnya, tanpa keyakinan mana mungkin datangnya pelaburan untuk ekonomi digerakkan.
“Tetapi kita orang kita sendiri yang cuba melemahkan dan sabotaj ekonomi kita sendiri, ibaratnya seperti merudumkan rumah dan tanah air kita sendiri,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2017 di Dewan Rakyat di sini.
Susulan daripada itu, Najib mendesak supaya mereka yang terlibat menghentikan usaha mereka memburukkan-burukkan kerajaan di dalam dan luar negara.
“Perbuatan durjana oleh musuh-musuh luar apatah lagi tangan-tangan kotor dalam negara, yang tidak bertanggungjawab seperti ini mesti dihentikan.
“Kerajaan Barisan Nasional demi rakyat tercinta, dari Semenanjung hingga Sabah dan Sarawak, kita akan terus mara menjulang Malaysia ke hadapan,” ujarnya.