Menurut beliau, tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya lebih awal ekoran mandat yang diterima daripada rakyat Selangor pada 2013 kepada Pakatan Rakyat (PR) di negeri itu masih kukuh untuk terus bertahan dalam tempoh yang sewajarnya.
“Tidak perlu, sebab mandat yang diberi rakyat Selangor pada 2013 amat besar dan mandat itu diberi untuk tempoh lima tahun. Saya tidak boleh mengkhianati mandat yang diberikan oleh rakyat dalam pilihan raya umum lepas.
“Tidak ada keperluan untuk adakan pilihan raya negeri Selangor kerana mandat itu kuat dan kukuh,” katanya ketika ditemui selepas menghadi Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam pada Isnin.
Awal pagi ini, veteran DAP, Lim Kit Siang melihat adanya keperluan untuk Selangor mengadakan pilihan raya mengejut bagi mengelakkan UMNO kembali berkuasa di negeri itu.
Kenyataan itu disuarakan Kit Siang susulan cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) melakukan persempadanan semula melibatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan juga Parlimen.
Mengulas lanjut, Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa itu berkata, pihaknya akan meneliti semula cadangan SPR untuk melakukan persempadanan semula dengan memastikan tidak berlakunya pelanggaran undang-undang.
“Sekiranya kita melihat cadangan yangg dikemukakan oleh SPR ini tidak menjamin hak demokratik setiap rakyat di dalam negara kita, yang ini yang sedang kita teliti dan petang ini saya akan bertemu dengan barisan peguam untuk melihat kemungkinan mengambil tindakan undang-undang sekiranya ada ruang atau ada maksud tersebut (tidak menjamin hak demokratik rakyat),” kata Timbalan Presiden PKR itu lagi.