Kempen menggunakan sentimen kenegerian itu kata Azmin adalah tidak wajar kerana pada hakikatnya kerajaan negeri Sarawak perlu mewujudkan hubungan yang baik dengan kerajaan Persekutuan.
“Saya melihat Adenan Satem cuba bermain sentimen kenegerian. Sementara kita menghormati semangat dan prinsip autonomi bagi rakyat negeri Sarawak, kita juga harus bersama-sama dengan rakyat Sarawak supaya ada satu kerjasama yang kuat dan utuh dengan Persekutuan.
“Beberapa permintaan rakyat Sarawak yang sepatutnya diberikan pertimbangan yang sewajarnya oleh kerajaan Persekutuan, mesti wujud dengan kerjasama yang baik.
“Sebagai contoh apabila dicadangkan oleh Keadilan sebelum ini supaya royalti minyak dinaikkan daripada lima peratus kepada satu jumlah yang lebih adil, ianya memerlukan kelulusan daripada Persekutuan. Begitu juga dengan menghapuskan GST.
“Jadi tidak mungkin kita boleh hanya main sentimen kenegerian semata-mata untuk mendapat undi kerana yang rugi akhirnya adalah rakyat negeri Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas ceramah di DUN Tarat malam tadi.
Bagaimanapun tegas Azmin, PKR tidak akan berkompromi dengan perjanjian pembentukkan Malaysia pada tahun 1963 dan mengembalikan hak rakyat Sarawak.
“Tetapi pada masa yang sama, kerjasama yang utuh dengan Persekutuan itu perlu dijalin. Ianya hanya dapat dilaksanakan apabila kepimpinan kerajaan negeri Sarawak itu benar-benar kuat dengan kepimpinan di peringkat Putrajaya,” ujarnya.