Azmin membuat permohonan tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai responden pertama, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang sebagai responden kedua dan kerajaan Malaysia sebagai responden ketiga.
Azmin menegaskan beliau membuat permohonan tersebut atas kapasitinya sebagai ahli Parlimen Gombak kerana melibatkan wang pembayar cukai dan rakyat perlu tahu isi kandungan laporan audit tersebut.
Permohonan itu dibuat bawah Perintah 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk mencabar pengelasan laporan itu sebagai sulit bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
Sementara itu, bekas anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Kamaruddin Jaafar menyifatkan tidak ada keperluan laporan tersebut diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi.
Jelasnya, ahli PAC dilarang untuk membuat sebarang komen ketika prosiding sedang berjalan kerana akan mengganggu siasatan tetapi laporan penuh perlu didedahkan kepada rakyat.