Pengurus skuad Liga Super Selangor, Amirudin Shari berkata, keputusan itu selaras dengan arahan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mahu rombakan segera dilakukan dalam pasukan Selangor.
“Tugas ketua jurulatih akan dipertanggungjawab kepada saudara K. Gunalan selaku penolong ketua jurulatih sehingga satu tempoh di mana FAS dan pengurusan pasukan mengenal pasti calon sesuai bagi mengemudi pasukan Selangor menghadapi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Amirudin pada masa sama, menjelaskan rombakan menyeluruh ke atas pengurusan FAS akan diumumkan hari ini.
Sebelum ini, Mohamed Azmin dilapor mengarahkan Amirudin dan penolongnya, Nor Hisham Ghouth untuk bertanggungjawab sepenuhnya di atas kemerosotan prestasi Selangor, dan meminta rombakan segera dilakukan dalam pasukan berkenaan bagi mengatasi masalah tersebut.
Kekalahan 0-1 kepada Kedah dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, semalam, juga membuatkan segelintir penyokong Selangor berang dan menuntut pembaharuan menyeluruh dalam FAS. –Bernama