Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Datuk Dr. Wan Shamsudin Mohd. Yusof berkata, Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 48, adalah orang pertama di negara ini yang mendakwa dirinya berketurunan Raja Sulaiman yang mula memerintah Kerajaan Melayu Singgora pada 1620.
“Dia (Awie) perlu mengemukakan bukti salasilah keluarganya bagi mengesahkan dakwaannya yang berketurunan Raja Sulaiman.
“Dokumen tersebut perlu dikemukakan kepada kedutaan Thailand dan kerabat Raja Sulaiman untuk memastikan kesahihannya,” katanya, memetik laporan Kosmo Online.
Tambah Wan Shamsudin, selepas kejatuhan Kesultanan Singgora semasa pemerintahan Raja Sulaiman ramai kerabatnya lari ke kawasan lain bagi menyelamatkan diri.
“Terdapat beberapa pemerintah di Thailand yang berketurunan Raja Sulaiman termasuklah Perdana Menteri Thailand ke-22 iaitu Jeneral Chavalit Yongchaiyudh dan bekas ketua komander Tentera Laut Diraja Thailand, Laksamana Niphon Srithorn,” ujarnya yang merupakan penulis buku Sejarah Tanah Melayu dan buku Sejarah Sastera Melayu Moden.
Terdahulu mendakwa dirinya merupakan keturunan anak Raja Siam melalui moyangnya Raja Sulaiman selepas melangsungkan perkahwinannya dengan Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin, 29, di Masjid Sultan Sulaiman Shah Songkhla, Thailand, minggu lalu.