Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata semua pihak perlu waspada dengan kewujudan golongan terbabit yang tidak disedari oleh sesiapa, namun bergerak aktif ke arah elemen keganasan.
“Kita mungkin tidak tahu tetapi polis tahu, risikan tahu apa yang berlaku seperti semalam ada penangkapan 14 orang anggota IS.
“Ia bermakna semua pihak perlu berwaspada terutama yang membabitkan pendidikan sama ada berkaitan agama atau bukan,” katanya kepada pemberita pada majlis Hari Guru dan Aidilfitri Parlimen Padang Terap, pada Ahad.
Mahdzir berkata, pada masa sama guru diminta menyalurkan maklumat berhubung persekitaran terutama golongan yang cenderung dalam aktiviti ekstremis.
Mengenai saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya sekolah menerapkan unsur kesederhanaan dan menolak elemen ekstremis, Mahdzir berkata, kajian bagi menyuntik nilai tambah dalam kurikulum akan dilakukan bagi memastikan ia mengenengahkan elemen kesederhanaan.
Beliau berkata, kurikulum semasa sudah memadai tetapi memerlukan tetapi memerlukan penambahbaikan. –Berita Harian Online