Audit dalaman tak memadai, Annuar sedia disiasat polis, SPRM

Beliau berkata, saranan supaya siasatan itu dijalankan polis dan SPRM kerana beliau menganggap tanggungjawab sebagai Pengerusi MARA dan Pelaburan Mara Berhad (PMB) sebagai amanah yang dijunjung tinggi.

“Pendirian saya dalam banyak perkara berkaitan tatakelola dan integriti memang tidak di senangi. Justeru saya sendiri tidak terkecuali.

“Soal tajaan pasukan Kelantan yang dibangkitkan elok disiasat badan bebas dan berwajib. Saya cadangkan agar PDRM dan SPRM segera menyiasat seperti yang pernah saya syor kepada Ahli Majlis Mara dalam group WhatsApp minggu lalu.

“Saya akan berikan sepenuh kerjasama InsyaAllah,” katanya dalam kenyataan terbaharu di laman Facebooknya, malam Selasa.

Bagaimanapun, beberapa jam selepas Majlis MARA memutuskan untuk menggantung sementara tugas Annuar selaku Pengerusi Mara dan Pengerusi PMB, SPRM telah mengeluarkan kenyataan bagi mengesahkan pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap Annuar berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa.

Kata Annuar, beliau telah membaca kenyataan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung tindakan menggantungnya dan memahaminya.

“Alasan yang diberikan adalah untuk membolehkan siasatan oleh Jawatankuasa Audit Dalaman dilakukan dan untuk mengembalikan keyakinan rakyat pada Mara.
“Saya berpendapat jika itulah keraguan Menteri, siasatan Jawatankuasa Audit Dalaman tidak memadai,” katanya.

Sebelum ini, Ismail Sabri berkata Ahli Majlis Mara berkuasa penuh untuk menggantung sementara Annuar sehingga selesai siasatan audit dalaman berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa.

Katanya, keputusan yang dibuat Majlis Mara itu tidak melibatkan pelantikan dan pemberhentian yang memerlukan kuasa menteri dengan persetujuan Perdana Menteri.

Annuar digantung tugas sebagai pengerusi berkuat kuasa serta merta.

Malah, Jawatan beliau sebagai Pengerusi PMB juga digantung berkuat kuasa pada tarikh sama.

Keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat tergempar yang dipengerusikan oleh Ahli Majlis Mara, Datuk Dr Yusof Yacob dan Prof Emeritus Datuk Dr Abu Azam Md Yassin di ibu pejabat MARA di ibu negara.

Dilaporkan, keputusan sebulat suara itu dibuat bagi membolehkan siasatan dalaman dibuat berhubung tajaan pasukan bola sepak Kelantan dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) oleh dua agensi berkenaan di mana Annuar didakwa melakukan salahguna kuasa.

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia