KUALA LUMPUR: Atlet Silat Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu Wan Muhammad Haikal Wan Hussin meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai pertandingan di Dewan Komuniti Taman Coral Height, Seremban semalam.
Difahamkan Wan Muhammad Haikal, 21, rebah dan tidak sedarkan diri selepas terkena tendangan pihak lawan.
Wan Muhammad disahkan meninggal dunia pukul 1.20 pagi tadi ketika dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ).
Kakak sulung Allahyarham, Wan Nor Haslinda berkata, keluarga diberitahu mengenai kejadian itu pada 5.30 petang semalam.
“Jurulatih hubungi bapa dan maklumkan yang arwah terpaksa dikejarkan ke hospital kerana tidak sedarkan diri selepas terkena tendangan pihak lawan.
“Tapi saya tidak tahu lebih lanjut bagaimana kejadian itu berlaku dan kira-kira 2.30 pagi, kami dimaklumkan yang dia sudah meninggal dunia. Waktu tepatnya saya tak pasti,” katanya ketika dihubungi seperti laporan Buletin TV3.
Menurutnya, allahyarham adalah anak keempat dari lima beradik dan berada di Seremban untuk Pra Sukma sejak Jumaat lalu.
Kedua ibu bapa serta adiknya kini berada di HTJ untuk menunggu bedah siasat selesai dan urusan menuntut jenazah.
Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Seremban berkata, mangsa sudah tidak sedarkan diri selama 20 minit di lokasi dan diberikan rawatan diberikan rawatan resusitasi kardiopulmonari (CPR).
“Sebaik kami tiba, pasukan mengambil alih pesakit serta merta, terus mengaktifkan AED serta alat bantuan pernafasan BVM dan oksigen kepada pesakit itu.
“Selepas memberi satu renjatan melalui AED pesakit terus dibawa ke HTJ untuk rawatan susulan dan dalam masa yang sama CPR masih lagi diteruskan sehingga tiba di hospital,” katanya.- MalaysiaGazette