Atlet, pegawai ke Olimpik Brazil dibekal penghalau nyamuk

Newenham berkata, semua atlet dikehendaki menyembur bahan itu ke badan mereka sebelum meninggalkan bilik masing-masing.

“Semua orang sedar dengan wabak itu dan kami akan mengikut nasihat pakar yang telah kami buat dalam bentuk hitam putih untuk diberikan kepada atlet. Menggunakan bahan penghalau nyamuk, memakai baju dan seluar panjang adalah yang paling diutamakan.

“Kami juga nasihatkan mereka untuk menutup tingkap (bilik) dan kami akan bekalkan bahan penghalau nyamuk bagi memastikan semua atlet menyemburnya,” katanya kepada Bernama sambil menambah nyamuk pembawa virus Zika lebih aktif pada siang hari.

Newenham, yang melawat Rio de Janeiro dan semua gelanggang Sukan Olimpik untuk mengumpulkan data baru-baru ini berkata, pihak berkuasa tempatan di situ juga telah mengambil langkah yang diperlukan untuk mencegah pembiakan nyamuk itu, spesies sama yang membawa demam denggi.

“Kami tidak akan berkompromi dalam melindungi semua atlet dan pegawai. Kami juga diberi taklimat oleh pegawai perubatan di Rio dan kumpulan perubatan Sukan Olimpik mengenai virus itu,” katanya.

Amerika Syarikat dan Australia turut mengambil langkah sama membekalkan bahan penghalau nyamuk kepada atlet dan pegawai mereka.

Sebelum ini, Menteri Kaunselor Kedutaan Brazil, Daniel Falcon Lins memberitahu Bernama, bagi menjamin keselamatan atlet dan pegawai, Brazil menempatkan 300,000 petugas perubatan dan 220,000 anggota tentera di seluruh negara, selain sukarelawan untuk bersama membasmi tempat pembiakan nyamuk itu.

Virus Zika mula dikesan pada 1950-an dengan beberapa kes direkodkan di Afrika, benua Amerika, Asia dan Pasifik tetapi wabak terkini dikesan di Brazil, Mei tahun lepas dan sejak itu, 35 negara lagi juga merekodkan kes sama terutama di Amerika Selatan dan Caribbean.

Lebih daripada 1.5 juta orang dijangkiti penyakit itu di seluruh Brazil dan Lins berkata kira-kira 80 peratus mangsa tidak menyedari mereka dijangkiti virus itu.

Sementara itu, Newenham turut menasihatkan atlet untuk memastikan kadar hidrasi tubuh mereka bagi menangani cuaca panas yang melanda negara ketika ini, sambil menegaskan Institut Sukan Negara (ISN) sentiasa memberikan nasihat kepada atlet.

“Perkara pertama yang harus dilakukan pada sebelah pagi ialah minum air kerana ketika itu tubuh anda sudah mengalami dihidrasi sewaktu tidur,” katanya.

Beliau juga mengesahkan suhu sewaktu Sukan Olimpik nanti akan lebih rendah iaitu antara 19.7 dan 28.8 darjah celsius dengan kadar kelembapan 71 peratus berikutan negara itu akan mula mengalami musim sejuk.

Kira-kira 10,500 atlet dari 206 negara dijangka mengambil bahagian di temasya yang julung kali diadakan di Amerika Selatan dari 5-21 Ogos, yang menawarkan 306 pingat emas daripada 42 jenis sukan. – Bernama

Related posts

‘Surat Layang’ Dedah Krisis Dalaman, Kongres FAM Ke-60 Esok Dijangka Panas

Hans Isaac Mungkin Kekal Pengerusi PSM

Malaysia Kalah Kali Kedua Dengan Oman 0-2