Asyraf Wajdi paling layak ganti Ku Li di Gua Musang

Namun keputusannya untuk tidak bertanding mempertahankan kerusinya pada PRU14 mendapat respons pelbagai pihak, terutamanya pengkaji dan penganalisis politik.

Walaupun rakyat masih memerlukan pemimpin seperti beliau, beliau tetap dengan keputusannya yang disuarakan sejak PRU 2013.

Beliau melakukannya bukan secara terburu-buru, tetapi dengan keyakinan bahawa UMNO di kawasan itu masih mampu dipertahankan dengan meletakkan wakil yang boleh diterima rakyat.

Keputusan Tengku Razaleigh, atau Ku Li, mendapat respons Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff yang menghormati keputusan itu.

Beliau mencadangkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai pengganti Ku Li untuk kawasan Gua Musang.

Malah cadangan itu mendapat dokongan kuat daripada pelbagai pihak, terutamanya beberapa ahli akademik yang melihat Asyraf sebagai antara pemimpin yang layak.

Rata-rata mereka yang dihubungi berpendapat ketokohan Asyraf sangat diperlukan bagi memastikan BN terus mempamerkan prestasi cemerlang di Gua Musang, sekali gus bagi membolehkan beliau memainkan peranan lebih berkesan di peringkat negeri dan pusat.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Noor Azizi Ismail, Asyraf seorang tokoh yang mempunyai latar belakang akademik dan profesional yang cemerlang selain ciri-ciri kepimpinan yang sangat diperlukan oleh Umno bagi membolehkannya menghadapi cabaran di masa depan.

“Sayang sekali jika tokoh sepenting beliau dibiarkan bergelut dengan politik dalaman di peringkat tempatan. Sangat baik jika beliau diberikan kawasan selamat seperti Gua Musang bagi memastikan kelangsungan politik beliau dapat berterusan dan diperkembangkan,” katanya.

Felo Penyelidik Utama Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah pula berpendapat, beliau juga menyokong cadangan meletakkan Asyraf bertanding di Gua Musang kerana pemimpin itu tidak boleh dirisikokan untuk bertanding di tempat seperti Tumpat kerana tendensi untuk menang amat tipis.

“Jika UMNO ada perancangan strategik terhadap Asyraf untuk dilantik sebagai menteri bagi menarik dan mewakili orang muda maka sewajarnya beliau diletakkan di kawasan selamat seperti Gua Musang, dan jika cadangan ini diterima maka Asyraf Wajdi akan jalankan tanggungjawab sebagai pemimpin dengan penuh integriti,” katanya.

Bagi pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsu Adabi Mamat pula, cadangan ini sesuai kerana Gua Musang memerlukan tokoh bertaraf nasional untuk mengimbangi kesan pengaruh Tengku Razaleigh, dan jika pilihan calon dibuat dengan tidak mengambil kira faktor ini mungkin akan berlaku kemerosotan undi kepada BN.

“Untuk BN mencipta gelombang kemenangan, faktor calon yang popular, winnable dan likeable amat penting untuk memacu pembinaan persepsi positif terhadap BN. Meletakkan Asyraf di Gua Musang akan membina keyakinan baru rakyat Kelantan kepada kesungguhan BN untuk mentadbir negeri,” katanya.

Namun, dalam masa yang sama, pemimpin pengganti tersebut mestilah juga mendapat restu daripada Tengku Razaleigh dan kepimpinan sedia ada di kawasan tersebut.

Perkara itu disuarakan pensyarah di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Mohd Noor Mat Yazid yang berpendapat restu tersebut amat penting untuk kerjasama berpanjangan selepas ini.

“Memang Asyraf sangat sesuai diletakkan bertanding di Gua Musang kerana ia kawasan selamat di Kelantan, dengan syarat mendapat restu pemimpin kanan UMNO Gua Musang yang lain.

“Berdasarkan latar belakang Asyraf yang dibesarkan di luar Kelantan dan lebih popular di peringkat nasional maka beliau tidak boleh diletakkan di kawasan tidak selamat, Gua Musang cukup sesuai dengan beliau dan usaha perlu dimulakan dari sekarang bagi mendekatkan beliau dengan masyarakat Gua Musang supaya tidak timbul masalah cah keting,” katanya.

Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara, Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah pula berpendapat, Asyraf ada peluang lebih cerah untuk naik dalam politik Malaysia jika Gua Musang dijadikan tapak politik beliau berbanding kawasan lain seperti Pasir Puteh.

“Masalah penerimaan penduduk Gua Musang ke atas beliau tidak patut timbul kerana sewaktu menjadi Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan sejak menjadi timbalan menteri, beliau banyak membantu mereka termasuk dalam aspek keagamaan, pendidikan dan perekonomian. Oleh itu gabungan kekuatan beliau dan kekukuhan Umno Gua Musang adalah satu formula mantap,” katanya.

Asyraf juga dijangka tidak bermasalah di Gua Musang kerana ketokohan yang dimiliki menjadikan beliau pemimpin yang layak untuk diletakkan di kubu kuat UMNO itu.

Ini dinyatakan pensyarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam Universiti Sains Malaysia, Dr Ahmad Syakir Mohd Rusdi.

“Tengku Razaleigh dengan kebiasaan sikap terbukanya dalam berpolitik diyakini tiada masalah melepaskan Gua Musang kepada Asyraf, manakala Asyraf pula sudah tentu lebih matang mendepani politik akar umbi di mana saja selepas melalui pengalaman kecewa di Tumpat dalam PRU12 dulu,” katanya.

Apa pun, UMNO harus sudah ada calon-calon yang sesuai untuk disenaraipendekkan bagi persediaan menggantikan Tengku Razaleigh jika benar keputusan beliau untuk berundur menjadi kenyataan.

Pelbagai jangkaan dimainkan key-board warrior tentang PRU14 yang mungkin diadakan lebih awal dari Ogos 2018, tetapi UMNO tentunya sudah mempunyai strategi sendiri bagi memastikan kerusi-kerusi miliknya dapat dipertahankan dan merancang pelbagai usaha untuk merebut kerusi-kerusi di kawasan-kawasan lain.- Sinar Harian

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri