Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Azmi Jaafar berkata, pihaknya mendapat panggilan berhubung kejadian itu pada 3.10 pagi dan tiba di lokasi kejadian 13 minit kemudian.
“Setibanya di lokasi, pihak kami mendapati dua bilik iaitu satu bilik bacaan dan satu lagi bilik gimnasium yang terletak di tingkat bawah bangunan asrama lelaki ini sudah terbakar 100 peratus.
“Ketika itu, terdapat seramai 15 pelajar lelaki terperangkap di blok bangunan asrama tiga tingkat ini, namun hasil tindakan pantas anggota bomba kesemua mereka berjaya diselamatkan,” katanya di Kuantan pada Selasa.
Azmi berkata, bagaimanapun, pihaknya difahamkan lima pelajar lelaki telah dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk mendapat rawatan lanjut kerana dipercayai mengalami asma akibat terhidu asap.
Sebanyak tiga jentera dengan 14 pegawai serta anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan terlibat dalam operasi berkenaan dan api dapat dipadam sepenuhnya pada 5.13 pagi.
Nilai kerugian dianggarkan kira-kira RM30,000 tidak termasuk bangunan, dan punca kejadian berkenaan masih dalam siasatan. – Bernama