Nora yang tersingkir pada konsert separuh akhir Gegar Vaganza 3 (GV3) berkata tomahan dan fitnah yang dilemparkan sewenang-wenangnya sehingga menjejaskan maruah sebagai seorang penyanyi dan isteri.
“Ramai netizen yang benci saya sejak isu tukar lagu dangdut lagi, saya sudah jelaskan ia bukan kehendak saya tetapi pihak produksi yang salah umum.
“Mereka mula buat tuduhan yang bukan-bukan kononnya saya ada skandal dengan orang Astro dan macam-macam lagi.
“Bukan saya sahaja, malah anak saya yang sedang mengambil peperiksaan di sekolah juga turut terkesan apabila pemeriksa bertanya kepadanya mengapa emak awak tukar lagu, kasihan dekat dia tidak fokus menjawab,” ujarnya, memetik mStar Online.
Lebih parah lagi, Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Ariffin, 43, berkata, perkara itu juga menjejaskan hubungannya dengan orang sekeliling dan rakan artis lain yang mula memberi persepsi negatif kepadanya.
“Ia benar-benar memberi kesan negatif, malah saya berjalan pun orang pandang, antara rakan artis pun bersikap lain terhadap saya dan ada juga menegur saya menzahirkan rasa simpati.
“Ada juga individu hantar mesej peribadi saya untuk meminta maaf kerana mengutuk saya di laman sosial. Apa semua ini?,” soalnya.
Susulan itu katanya dia tekad untuk menyanyikan lagu pilihan media meskipun telah dibenarkan untuk melantun lagu sendiri, Sandiwara pada malam Sabtu.
Jelas pelantun asal Di Persimpangan Dilema, keputusannya untuk menyanyi lagu pilihan media iaitu All I Ask nyanyian asal Adele diputuskan dua hari sebelum konsert.
Malah dia sedar dirinya berhadapan risiko besar untuk tersingkir apabila menyanyikan lagu berkenaan.
Dengan penyingkiran Nora, enam peserta bakal berentap di pentas akhir GV3 adalah Azharina, Zarul Husin, Intan Sarafina, Ameng, Gmie (Screen) dan Siti Sarah.