‘Apa salah PAS, UMNO bersatu’

Beliau menyifatkan perkara itu adalah berita baik yang ditunggu-tunggu setelah dahulunya Umno menentang, tetapi kini turut bersama menyokong pindaan Rang Undang-Undang (RUU) 355 atau RUU Persendirian Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah).

Menurut laporan Sinar Harian, Nik Mohamad Abduh berkata, PAS dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam telah sepakat untuk menyeru seluruh ahli parlimen Muslim agar menyokong RUU355 ini.

“Ia adalah hari besar untuk Islam di Malaysia. Jika ada ahli parlimen bukan Islam turut menyokong, maka ia adalah bonus besar buat penyatuan dan kesejahteraan negara yang wajar dirayakan juga.

“Seperti saya tekankan di atas, sebagaimana UMNO memerlukan masa untuk memahami, MCA dan DAP lagi-lagilah memerlukan masa,” katanya menerusi catatan terbaharu di laman sosial Facebooknya, pada Khamis.

Kenyataan itu berikutan tindakan MCA dan DAP yang dilihat bersatu hati menentang RUU355 yang dijelaskan oleh Nik Mohamad Abduh bertujuan memperkasakan kedudukan mahkamah syariah dalam sistem perundangan negara.

“Secara mudah, kedua-dua parti dominasi non Muslim itu mempunyai dua matlamat yang sama iaitu memastikan berkembangnya arus sekular yang menolak peranan ugama dalam politik negara dan keduanya, saling berebut undi non Muslim.

“Dengan membesarkan isu pelaksanaan hukum hudud melalui RUU355 ini, mereka cuba menggambarkan masa depan Malaysia yang gelap jika ianya diluluskan,” ujarnya.

Malah, Ahli Parlimen Pasir Mas itu membidas DAP dan MCA pastinya akan bersatu sekiranya melibatkan soal hak dan tuntutan golongan LGBT.

“Saya tidak fikir pula jika hak dan tuntutan golongan LGBT diterima dalam negara, kedua-dua parti ini akan bersatu hati menentangnya.

“Dalam erti, memperkasakan perundangan Islam dalam negara adalah lebih bahaya dan menggelapkan masa depan negara berbanding kehadiran LGBT yang sedang berkembang menghancurkan dunia barat kini.

“Apa pun, saya memilih untuk melihatnya sebagai kejahilan yang perlu dilunakkan dengan proses pemahaman yang menagih sedikit masa yang lebih,” katanya.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri