Wan Junaidi berkata, anggota Parlimen Cameron Highlands itu memegang portfolio berkenaan (Sumber Asli dan Alam Sekitar) lebih lama berbanding beliau sendiri.
Jadi Palanivel tidak sepatutnya membuat dakwaan yang tidak berasas terhadapnya (Wan Junaidi) berhubung kegiatan haram itu.
“Saya kecewa juga Palanivel (yang selama) dua tahun menjadi menteri. Saya baru lapan bulan. Kenapa tak buat (sesuatu semasa masih menjadi menteri). Sekarang baru pandai-pandai nak bercakap,” kata Wan Junaidi kepada pemberita di Langkawi.
Beliau mengulas kenyataan Palanivel pada Jumaat lepas yang mendakwa penerokaan haram di Cameron Highlands sukar diatasi kerana kegiatan itu didalangi oleh ‘individu atau kumpulan berpengaruh’.
“Kalau dia (Palanivel) ada maklumat yang terperinci tentang orang-orang yang berkenaan (dengan dakwaan mendalangi penerokaan haram itu) hantar surat, beritahu saya,” kata Wan Junaidi.
Menteri itu berkata pindaan kepada Kanun Tanah Negara adalah di antara tiga rang undang-undang yang telahpun diluluskan oleh Dewan Rakyat dengan peruntukan denda sehingga RM500,000 terhadap pesalah yang meneroka tanah secara haram.
Katanya, pembentangan rang undang-undang itu juga merupakan usaha kementeriannya untuk membendung kegiatan penerokaan haram itu seperti berlaku di Cameron Highlands.
Menurutnya usaha-usaha penguatkuasaan juga turut dipertingkatkan lagi bagi menghalang mana-mana pihak yang cuba memasuki kawasan yang telah diceroboh di kawasan tanah tinggi itu. – Bernama