Anwar nafi pernah berniat gulingkan Tun M

Ketika memberi keterangan dalam saman fitnahnya terhadap Khairy di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, beliau berkata dakwaan itu adalah palsu dan rekaan politik selepas pemecatannya pada tahun 1998.

“Tidak ada pemilihan parti (Umno) pada tahun 1998. Majlis Tertinggi telah menetapkan tiada pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.

“Pada mesyuarat itu, saya menyokong usul tiada pertandingan bagi jawatan presiden tetapi selainnya, termasuk jawatan yang saya sandang ketika itu, iaitu timbalan presiden Umno dipertandingkan. Kenyataan saya berkaitan dilaporkan dalam media,” katanya, merujuk laporan The Star bertarikh 11 Mei 1998.

Beliau mendakwa bahawa isu dirinya mencabar Mahathir tidak pernah tidak timbul, walaupun naib presiden ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Abdullah Ahmad Badawi mahu beliau membawa beberapa isu mengenai Proton, Perwaja, Empangan Bakun dan lain-lain kepada presiden parti.

“Saya seringkali diminta naib-naib presiden untuk menyampaikan kepada perdana menteri (Mahathir) pandangan dan keprihatinan pimpinan dan akar umbi.

“Namun, soal mencabar kedudukan presiden tidak pernah berbangkit,” katanya.

Di sebaliknya, saksi-saksi yang dikemukakan Khairy tidak pernah hadir atau terbabit dalam pertemuan tersebut, katanya.

Beliau mengulas keterangan yang dibuat oleh Datuk Lokman Adam, Datuk Ishak Ismail (ADUN Lenggeng) dan Datuk Ali Shikh yang memberi keterangan di mahkamah sebelum ini bahawa Datuk Ezam Mohd Noor telah memberitahu mereka bahawa Anwar mahu menjatuhkan Mahathir. –Makkal Osai

Related posts

Guan Eng perlu berundur jika pembangkang berbaik semula dengan PAS – MCA

Jawab masalah India yang dilaporkan akhbar Tamil, bukan menentang – DAP Perak

Jelaskan dakwaan ‘Melayu terabai di Pulau Pinang’ kepada polis -Ram Karpal