Annuar tidak akan kembali kepada KAFA

Annuar bagaimanapun berkata, keputusan tersebut kekal dan bukannya satu sandiwara yang direka untuk meraih simpati penyokong seperti dilemparkan oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab.

“Ini bukan (sandiwara), saya tidak mampu untuk menguruskan Kafa sekiranya tiada pihak yang tampil membantu pasukan.

“Saya kena berterus terang, untuk mencari dana berjumlah RM15 juta sehingga RM16 juta bukan tugas mudah. Jika sekitar RM6 juta berkemungkinan besar saya mampu.

“Untuk makluman dana yang KAFA peroleh musim lalu semuanya berkait dengan saya antaranya redONE, Alhamra, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB). Semua itu adalah inisiatif saya seorang,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Soal Jawab Bersama Penyokong The Red Warriors di Kota Bharu pada Isnin.

Bagaimanapun, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, beliau memberi jaminan akan terus membantu persatuan tersebut untuk melangkah ke hadapan daripada luar.

Utusan Malaysia 25 Disember lalu melaporkan, Annuar menyerahkan kepada KAFA untuk menentukan penyertaan mereka dalam Liga Malaysia (Liga M) pada musim hadapan.

Sebelum ini, KAFA tetap dengan keputusan untuk menarik diri dari saingan Liga M gara-gara masalah kewangan yang dihadapi mereka.

Bagaimanapun, keputusan berhubung hala tuju Kelantan akan diputuskan pada 29 Disember ini menerusi mesyuarat agung luar biasanya.

Badan induk bola sepak Kelantan itu memerlukan sekurang-kurangnya RM15 juta bagi membolehkan pasukan kekal bersaing secara kompetitif namun persatuan masih bergelut mencari sumber kewangan selepas Annuar meletakkan jawatan sebagai Presiden, awal bulan lalu.

Sehingga kini, KAFA hanya mempunyai dana terkumpul berjumlah RM800,000 sahaja, memetik Utusan Online.

Related posts

‘Surat Layang’ Dedah Krisis Dalaman, Kongres FAM Ke-60 Esok Dijangka Panas

Hans Isaac Mungkin Kekal Pengerusi PSM

Malaysia Kalah Kali Kedua Dengan Oman 0-2