Katanya, sudah sampai masa untuk beliau melakukan kerja kebajikan dengan memberi tumpuan kepada Yayasan Kemiskinan Kelantan, Yayasan Sahabat Malaysia dan Yayasan Pelajaran MARA.
Turut diberi tumpuan adalah penubuhan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab dan Pusat Pengajian Al-Quran Darul Saadah.
“Selama ini tumpuan saya adalah kepada bola sepak. Segala dana yang diperoleh saya salur untuk KAFA.
“Sudah sampai masanya untuk saya menumpukan kepada kebajikan. Pengunduran ini membuka peluang kepada orang lain untuk menjawat jawatan ini,” katanya ketika ditemui di Bangunan Parlimen.
Annuar berkata, pengundurannya selepas 10 tahun memegang jawatan Presiden kerana merasakan kemampuannya untuk mengendalikan KAFA sudah mencapai tahap optimum.
Katanya, bola sepak pada masa ini menjadi sangat kompetitif dan untuk mengendalikannya memerlukan keupayaan tinggi dari segi pengurusan dan kewangan.
“Jika di awal dulu kos mengendalikan pastikan hanya RM3 juta tetapi sekarang ia meningkat sehingga RM20 juta. “Saya tidak boleh pentingkan diri sendiri. Saya kena pentingkan Kelantan dan saya tahu keupayaan yang terbatas ini dan perlu melepaskan jawatan ini,” katanya.
Menurutnya, mengendalikan KAFA tidak sama dengan pasukan bola sepak negeri lain yang mendapat dana daripada kerajaan negeri sedang di KAFA, beliau perlu bergerak sendiri dalam mengendalikan pasukan itu.
Namun, sekalipun sudah meletak jawatan dengan KAFA, Annuar tidak menolak sekiranya dicalonkan untuk jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas ini.
Pertimbangan itu dibuat kerana mengendalikan KAFA dan FAM adalah perkara berbeza kerana FAM mempunyai pasukan yang bekerjasama dalam pengurusan, manakala KAFA dia perlu laksanakan semua perkara sendiri, memetik BH Online.