Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Abdul Aziz Yusof, berkata perairan Lingga hingga Pulau Seduku, Batang Lupar terkenal dengan buaya.
Pulau Seduku merupakan Taman Santuari Buaya Sarawak, dan kawasan perairan bersebelahan dengan Taman Negara Maludam.
Abdul Aziz berkata anggota keselamatan yang terlibat dengan SAR telah dibekalkan dengan senjata.
“Tapi itu perkara biasa. Sehingga memasuki hari ketiga (SAR) tiada ancaman diterima. Namun kita sudah ingatkan semua yang terlibat perlu ambil kira keselamatan diri sendiri,” katanya kepada pemberita di pusat operasi SAR Lingga, kira-kira 49 kilometer dari Bandar Sri Aman.
Beliau berkata kawasan pencarian mangsa nahas sudahpun dikecilkan dan tumpuan diberikan terhadap perairan Lingga hingga Pulau Seduku, dan jumlah anggota akan ditambah mengikut kesesuaian.
“Di sini kita mempunyai pasukan penyelam namun keadaan air sungai yang keruh menyukarkan anggota untuk menyelam. Namun sekiranya keadaan memerlukan, pasukan penyelam sentiasa bersedia,” katanya. – Bernama