Anggota polis lakukan rompakan bersenjata di kafe siber

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, suspek yang berusia 55 tahun dilaporkan masuk ke premis berkenaan dan mengacukan pistol sebelum melarikan wang tunai RM2,000.

Sebaik sahaja suspek melarikan diri, mangsa telah menghubungi rakannya dan mengejar suspek kira-kira 500 meter sehingga ke sebuah restoran berhampiran.

Menyedari dirinya dikejar, suspek kemudian bertindak melepaskan satu das tembakan namun tembakannya tersasar.

Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan oleh anggota unit kereta peronda dan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Brickfields.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Sharul Othman, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian rompakan itu dan berjaya menangkap suspek di Jalan Radin Tengah iaitu tidak jauh dari lokasi dia melepaskan tembakan.

“Pemeriksaan lanjut menemukan wang tunai RM2,000 yang dipercayai disamun dan semakan mendapati suspek adalah anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam,” katanya.

Sharul memberitahu, pihaknya turut merampas sepucuk pistol jenis Sig Sauer bersama satu kelopak peluru yang dipercayai milik jabatan untuk kemudahan suspek ketika bertugas.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak dan Seksyen 397 kanun sama atas kesalahan melakukan rompakan bersenjata serta Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 kerana kesalahan melepaskan tembakan di tempat awam. -Utusan Online

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Polis Percaya Hanya Seorang Dalang ‘Molotov Cocktail’ Sungai Isap