Mangsa yang dikenali sebagai Fatin dalam dua video masing-masing berdurasi dua minit lapan saat dan satu minit 15 saat itu dipukul di sebuah hotel di pekan Sungai Golok, pagi Selasa lalu.
Dalam video berkenaan, mangsa dipukul menggunakan dua botol kaca minuman oleh seorang wanita warga Thailand, dipercayai diupah wanita dikenali sebagai Nadia yang membuat rakaman itu.
Difahamkan, kejadian berlaku akibat salah faham apabila mangsa dituduh menjalin hubungan cinta dengan suami Nadia.
Susulan perkara itu, ibu mangsa yang mahu dikenali sebagai Ani, 50-an mahu polis mengambil tindakan tegas terhadap pelaku yang memukul dan membogelkan anak perempuannya.
Katanya dia mengetahui kejadian menimpa anaknya Sabtu lalu, selepas dimaklumkan anak keduanya yang tinggal di Kuala Lumpur.
“Akibat kejadian itu anak saya cedera di badan, kepala dan menerima lapan jahitan di dahi. Sebagai ibu, saya sedih dengan kejadian itu kerana mengaibkan anak saya tanpa belas kasihan.
“Saya sudah membuat laporan di Balai Polis Kubang Kerian Sabtu lalu,” katanya, memetik laporan Harian Metro.