Anak Najib sahkan akaun luar pesisir

Bagaimanapun, anak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu menafikan sebarang salah laku susulan daripada kebocoran maklumat yang digelar ‘Panama Papers’ baru-baru ini dan firma guaman Mossack Fonseca?

“Saya memegang jawatan pengarah dalam dua syarikat yang berpangkalan di BVI iaitu, Jay Marriot International dan PCJ International Venture Limited. Kedua-dua syarikat tersebut ditubuhkan bersama firma guaman bertaraf antarabangsa Mossack Fonseca.

“Pada waktu itu (tahun 2009), saya merupakan salah satu daripada dua pengarah (Ch’ng Soon Sen adalah pengarah yang lain seperti yang diketahui) di Jay Marriot. Bagi syarikat PCJ International pula, syarikat itu adalah ditubuhkan bersama dengan seorang pemaju Megat Daniff Shahriman Zaharudin,” katanya di laman sosial Facebook beliau.

Jelas Nazif, beliau tidak lagi terlibat dalam kedua-dua syarikat tersebut dan telah memindahkan kesemua saham milikannya di Jay Marriot kepada kakak Ch’ng dan meletak jawatan pada tahun 2011.

Manakala bagi PCJ International, kata Nazif, syarikat tersebut telah ditutup setahun selepas pembentukan (2013) kerana tiada urusan dan transaksi perniagaan yang berlaku sejak penubuhan.

“Telah menjadi satu kebiasaan di mana pihak-pihak tertentu akan mengambil kesempatan untuk membangkitkan isu ini seolah-olah saya telah melakukan satu kesalahan atau jenayah.

“Ia tidak menghairankan saya jika ada pihak yang akan mempolitikkan perkara tersebut dalam usaha untuk memburukkan nama saya,” katanya sambil menambah tiada urusan perniagaan dan transakasi yang dibuat sepanjang penglibatannya dalam tempoh masa tersebut.

Mengulas lanjut pendedahan Panama Paper itu, Nazif menegaskan penglibatan dalam syarikat-syarikat yang disenaraikan tersebut tidak bermaksud seseorang telah melakukan kesalahan atau jenayah.

“Perkara ini telah diterangkan dengan jelas oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Nama-nama lain turut disebut di dalam isu ini, termasuklah Mirzan Mahathir (salah seorang anak mantan Perdana Menteri), bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Raja Nong Chik Zainal Abidin serta Michael Chia. Di samping itu, tokoh-tokoh antarabangsa seperti Lionel Messi, Jackie Chan dan bapa James Cameron juga disebut.

“Namun begitu, kita harus faham yang tak semestinya jika nama seseorang itu disebut maka dia telah disabit dengan apa-apa kesalahan. Secara peribadinya, saya merasakan kebocoran maklumat ini adalah satu bentuk serangan besar terhadap hak privasi individu dan syarikat,” ujarnya.

Related posts

Lelaki Maut Ditikam Ketika Adakan Seks Dengan Wanita Yang Dilarikannya

Kerjasama SKMM, Polis Tumpaskan Kumpulan Swinger Yang Aktif Promosi Seks Bertukar Pasangan

Jaafar Onn Meninggal Dunia