SHAH ALAM: Pemuda PKR Wilayah Persekutuan mendakwa anggota jawatankuasa PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi mempermainkan ayat al-Quran ketika mengulas isu perkataan kafir di media sosial.
Ia susulan tindakan anak presiden PAS Abdul Hadi Awang itu menulis hantaran di Facebook berbunyi “Qul ya ayyuha al-qafiruun atau Qul ya ayyuhal non-muslim” (Katakanlah wahai orang-orang kafir atau katalah wahai orang-orang bukan Islam).
“Qul ya ayyuha al-qafiruun” adalah ayat daripada surah al-Kafirun yang menerangkan berkaitan perbezaan antara sembahan dan ibadat orang Islam dan kafir.
Ketua penerangan AMK Wilayah Muhammad Azha Salahudin berkata tindakan Khalid itu biadab dan tidak menghormati kalimah ayat suci al-Quran.
“Sebagai seorang ahli dewan undangan negeri (Adun) dan anak kepada presiden PAS, beliau seharusya lebih memahami sensitiviti umat Islam di Malaysia dan tidak menjadikan ayat al-Quran sebagai modal politik murahan terutama sekali di bulan Ramadan yang mulia ini,” kata Azha.
Katanya, perbezaan pendapat harus diraikan dengan perbincangan lebih matang dan terbuka berlandaskan ilmu, bukan mengambil kesempatan “menukar dan mempermainkan ayat suci al-Quran hanya untuk meraih keuntungan politik”.
Khalil yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk menulis status kontroversi itu beberapa hari lepas.
Bagaimanapun hantaran itu tidak lagi kelihatan selepas menerima banyak kecaman.
Dia dipercayai mengulas kontroversi kenyataan menteri pendidikan Fadhlina Sidek yang mengharamkan perkataan kafir dalam rumahnya.
Fadhlina menjelaskan dia tidak mengharamkan perkataan yang digunakan dalam al-Quran itu, sebaliknya menyarankan panggilan sesuai dalam kehidupan seharian.
Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Azha berkata sikap “munafik” PAS semakin jelas apabila pemimpinnya tidak memberikan teguran atau mengambil sebarang tindakan terhadap Khalil. -Malaysiakini