Amanah sedia bincang dengan PAS satu lawan satu dalam PRK

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, sejak dahulu lagi Amanah membuka ruang seluas-luasnya untuk sebarang bentuk kerjasama bagi memastikan kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya.

“Tiada masalah, dengan siapa sahaja kami boleh bincang, Pas sekalipun dalam hal ini,” katanya, memetik laporan Sinar Online, pada Rabu.

Khalid menyambut baik cadangan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar supaya kedua-dua parti itu duduk semeja mencari kata sepakat untuk mengelak pertembungan sesama sendiri pada PRN nanti.

Khalid bagaimanapun turut mencadangkan supaya perbincangan bersama PAS itu diketuai presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri agar setiap keputusan yang dicapai akan dipegang bersama.

“Takut orang lain datang cakap lain, apa yang diputuskan akan dipegang tidak mahu berubah-ubah selepas habis mesyuarat,” katanya.

Parti itu bagaimanapun katanya masih belum membuat sebarang perbincangan mengenainya memandangkan pengosongan kerusi masih belum diumumkan lagi.

“Kita tidak mahu dilihat tergopoh-gapah. Beri ruang speaker umum dahulu. Lagipun kita perlu menghormati ahli keluarga yang terlibat,” katanya.

PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar hampir pasti berlaku apabila kedua-dua penyandangnya, Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Wan Anuar terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei lalu.

Related posts

Kerjasama UMNO Dengan Warisan Mungkin Selepas PRN

Anak Abdul Hadi Didakwa Mempermainkan Al Quran

Tengku Zafrul Letak Jawatan Bendahari Umno S’gor, Kecewa Prestasi Negeri