Beliau berkata demikian bagi menunjukkan pendirian PAS yang tidak akan berputus asa meskipun wujud kemungkinan untuk RUU persendirian itu tidak dibahaskan atau ditolak pada sidang kali ini.
Idris berkata, usaha berkenaan yang dibawa oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak akan berhenti sehinggalah akta tersebut berjaya dipinda.
Mengulas lanjut, Idris gagal menyatakan keyakinannya terhadap sokongan yang akan diberikan oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) khususnya yang bukan beragama Islam namun berkata ia adalah harapan PAS.
“Kalau semua di kalangan ahli parlimen sokong, luluslah.
“Kita harapkan dapatlah (sokongan BN). Anda kena tanya PM.. tanggungjawab kita membawa (usul),” ujarnya memetik laporan Berita Daily.
Beliau dalam masa sama menambah, PAS tidak terkesan dan mengambil pendekatan untuk tidak peduli terhadap usaha Parti Amanah Negara (Amanah) yang mahu mengemukakan usul alternatif terhadap RUU 355.
“Itu terpulang kepada dia (Amanah).. semua parti berhak untuk mengemukakan…kita ada cara kita, dia cara dia,” jelas Ahli Parlimen Bukit Gantang itu.
Terdahulu Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata usul alternatif yang bakal mereka utarakan lebih menyeluruh berbanding cadangan Hadi yang menurutnya kabur dan terbuka kepada salah tafsir.
Usul parti serpihan PAS itu antaranya mencadangkan pembentukan sebuah majlis merangkumi pakar agama dan undang-undang bagi membincangkan kaedah terbaik memperkasa Mahkamah Syariah.
Usul itu diserahkan minggu lalu oleh ahli parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud dan sepatutnya dimasukkan dalam kertas aturan parlimen minggu depan.