PETALING JAYA: Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh) melakar sejarah tersendiri pada 17 Mei 2001, selaku perintis lebuh raya bertingkat di Malaysia dan sehingga kini membantu meningkatkan kesalinghubungan dalam bandar.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prolintas, Mohammad Azlan Abdullah, berkata Akleh yang juga lebuh raya pertama dibina syarikat itu direka khusus untuk menghubungkan pengguna dan penduduk sekitar dengan tempoh perjalanan lebih singkat dari Ampang ke pusat bandar raya Kuala Lumpur.
“Akleh disifatkan sebagai penyelesaian strategik yang terbukti memberi manfaat kepada pengguna di sekitar Ampang dan Hulu Klang meskipun berdepan cabaran perbandaran pesat sambil menyumbang kepada penambahbaikan keseluruhan rangkaian jalan di kawasan sekitarnya.
“Walaupun lebih 22 tahun beroperasi, Akleh kekal sebagai alternatif pilihan untuk penduduk Ampang yang menuju ke KLCC atau pusat bandar dengan menyuraikan trafik secara berkesan terutama di Jalan Ampang dan Jalan Tun Razak,” katanya.
Akleh sepanjang 7.4km bermula dari Jalan Sultan Ismail hingga Taman Ampang Utama. Terdapat enam persimpangan strategik termasuk di Jalan Sultan Ismail, Jalan Tun Razak, Jalan Jelatek, Jalan Lingkaran Tengah 2 (JLT2), Jalan Kerja Air Lama dan Jalan Ampang.
Ia menyediakan akses terus dan lancar ke beberapa lebuh raya utama sekitarnya seperti Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) yang seterusnya memperluas capaian Akleh kepada jumlah pengguna dan kawasan liputan yang lebih besar.
Azlan memaklumkan, sambutan terhadap Akleh semakin meningkat dan lebih 40,000 pengguna memilih menggunakan lebuh raya itu setiap hari.
“Kami menghargai sambutan menggalakkan yang diterima dan akan terus komited dalam mengutamakan keselesaan dan keselamatan pengguna setiap masa,” katanya.
Azlan juga menjelaskan, usaha berterusan akan giat dijalankan untuk menyelesaikan isu dihadapi pengguna dengan menggariskan rancangan untuk terus menambah baik lebuh raya berkenaan.
“Pada 2015, kami telah menyiapkan fasa kedua Akleh yang melibatkan kerja pelebaran jalan dari Jelatek ke Ampang. Maklum balas daripadapengguna sejak fasa kedua itu siap dilihat amat positif.
“Kami juga ingin menggalakkan pengguna memaklumkan sebarang cadangan untuk penambahbaikan. Matlamatnya adalah untuk memastikan Akleh tetap menjadi pilihan pengguna untuk ke pejabat, pusat beli-belah dan banyak lagi.
“Dalam pembangunan Kuala Lumpur yang terus pesat, Akleh tetap menjadi komponen kritikal bagi rangkaian pengangkutan bandar dengan memastikan perjalanan trafik lancar,” katanya.
Akleh ialah salah satu lebuh raya bawah portfolio Kumpulan Prolintas selain Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Sistem Penyuraian Trafik Kajang (SILK), SUKE and Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH). -Free Malaysia Today