Pengumuman itu dibuat pada muka hadapan keluaran terakhir akhbar berkenaan semalam berikutan ia tidak lagi dapat menampung sumber bagi meneruskan operasi media dan penerbitannya.
Brunei Times dimiliki Brunei Times PLC bermula dengan format broadsheet sebelum bertukar kepada saiz tabloid pada tahun 2010.
“Brunei Times tidak dapat lagi menampung sumbernya untuk meneruskan operasi media dan penerbitannya. Lembaga pengarah syarikat bersetuju tindakan terbaik adalah dengan menutup akhbar itu.
“Ia disebabkan isu perniagaan, standard laporan dan kewartawanan yang perlu memenuhi tanda aras dan juga isu berkaitan kemapanan perniagaan, terutama dalam keadaan mencabar daripada media alternatif,” menurut pengumuman di muka hadapan akhbar itu.
Mengikut laporan Bangkok Post, penutupan akhbar itu menyebabkan 110 kakitangan hilang pekerjaan.
The Brunei Times adalah akhbar kedua terbesar dalam edaran harian selepas Buletin Borneo dengan 10,000 naskhah sehari.