Menurut sumber syarikat yang enggan dikenali, kesemua anak syarikat AirAsia iaitu Thai AirAsia, AirAsia Indonesia, Philippines AirAsia, AirAsia X, Indonesia AirAsia X dalam mesyuarat pengurusan pagi ini telah bersetuju untuk berpindah ke KLIA dan memulakan operasi di lapangan terbang utama negara tersebut.
Katanya lagi, pegawai-pegawai pengurusan kanan AirAsia akan mengadakan pertemuan dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada Isnin ini.
“Perbincangan itu adalah khusus mengenai perpindahan operasi AirAsia ke KLIA.
“Kita akan membentangkan pelan perpindahan dan keperluan-keperluan AirAsia di KLIA seperti tempat pesawat kami berlabuh,’’ katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia mengumumkan kadar baharu PSC di KLIA dan KLIA2 berkuat kuasa 1 Januari 2017. Kadar baharu ini telah lama diketahui dan hanya menanti pengumuman rasmi kerajaan. Kadar tersebut telah dibantah oleh AirAsia sebelum ini.
Selain itu, mengikut sumber itu lagi, AirAsia bercadang untuk membentangkan idea agar keseluruhan operasi Malaysia Airlines Berhad (MAB) dipindahkan ke KLIA2.
“Ketua Pegawai Eksekutif MAB telah berkali-kali menyatakan minat untuk beroperasi di KLIA2 dan pihak AirAsia bersedia untuk menyerahkan keseluruhan lapangan terbang tersebut untuk MAB,’’ ujar beliau.
Menurut sumber itu lagi, pengurusan AirAsia menolak keras penjelasan mengenai kualiti fasiliti di antara KLIA dan KLIA2.
“Ini kerana KLIA mempunyai fasiliti yang jauh lebih baik berbanding KLIA2 daripada segi pengalaman dan kemudahan pengguna,’’ kata sumber itu, memetik Utusan Online.