Ini adalah antara inti pati pelan perpindahan yang akan dikemukakan sendiri oleh pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes kepada wakil Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam pertemuan yang dijadualkan esok.
Sumber yang rapat dengan perkara itu berkata, Tony bersama pasukannya termasuk CEO AirAsia, Aireen Omar akan mengemukakan pelan perpindahan syarikat dan juga membincangkan isu-isu yang belum diselesaikan dengan MAHB.
Menurutnya, AirAsia hanya memerlukan masa yang singkat untuk berpindah iaitu tiga minggu, dan diyakini memulakan operasi di KLIA sebelum kadar baharu caj perkhidmatan penumpang (PSC) berkuat kuasa 1 Januari 2017.
“Tiga minggu adalah masa yang AirAsia ambil untuk berpindah dari LCCT ke KLIA2. Ini menjadi garis masa yang bertepatan.
“Pejabat korporat AirAsia akan kekal di KLIA2. Perpindahan ini hanya berkaitan operasi penerbangan,’’ jelasnya memetik Utusan Online.
Pada 1 November lalu, AirAsia mengumumkan keputusan untuk berpindah dari KLIA2, melibatkan keseluruhan armada penerbangannya iaitu AirAsia, Thai AirAsia, Philippines AirAsia, Indonesia AirAsia, AirAsia X dan Indonesia X.
Keputusan tersebut didorong oleh pengumuman Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) pada Isnin lalu, mengumumkan kadar baharu PSC di KLIA dan KLIA2 berkuat kuasa 1 Januari 2017.
Kadar baharu ini telah lama diketahui dan hanya menanti pengumuman rasmi kerajaan. Kadar tersebut telah dibantah oleh AirAsia sebelum ini.
Operasi AirAsia merupakan syarikat penerbangan terbesar di KLIA2, iaitu 98 peratus daripada keseluruhan penerbangan.
Sebelum ini, AirAsia beroperasi di terminal tambang murah (LCCT) dan syarikat itu baharu sahaja menyelesaikan perpindahan pejabat korporatnya ke KLIA2 minggu lalu.
Selain itu, mengikut sumber itu lagi, AirAsia bercadang untuk membentangkan idea agar keseluruhan operasi Malaysia Airlines Berhad (MAB) dipindahkan ke KLIA2.
“Ketua Pegawai Eksekutif MAB telah berkali-kali menyatakan minat untuk beroperasi di KLIA2 dan pihak AirAsia bersedia untuk menyerahkan keseluruhan lapangan terbang tersebut untuk MAB,’’ ujar beliau.
Menurut sumber itu lagi, pengurusan AirAsia menolak keras penjelasan mengenai kualiti fasiliti antara KLIA dan KLIA2.
“Ini kerana KLIA mempunyai fasiliti yang jauh lebih baik berbanding KLIA2 dari segi pengalaman dan kemudahan pengguna,’’ kata sumber itu.