Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, dua pusat pemindahan yang baharu dibuka ialah Dewan Masyarakat Sungai Keramat di Kapar, Klang dan Dewan Seri Sekinchan di Sabak Bernam.
Tiga pusat pemindahan yang dibuka sebelum ini ialah Dewan Serbaguna, Kampung Tok Muda, Kapar, dan Dewan Sungai Air Tawar serta Dewan Parit Baru di Sabak Bernam, katanya pada Ahad.
Beliau berkata, jumlah penduduk yang dipindahkan juga bertambah kepada 332 setakat 6 petang, berbanding 321 pada sebelah pagi.
Penduduk terlibat adalah dari Kampung Tok Muda, Kapar, Klang (236 orang), penduduk dari Kampung Batu 5, Kapar (enam orang), penduduk yang menetap di sekitar Sekinchan (dua orang) dan penduduk yang menetap di pekan serta kampung-kampung di sekitar Sungai Air Tawar (88 orang).
Sementara itu, hampir 100 penduduk Kampung Baru Lembah Pantai di Tanjong Karang bergotong-royong menambah ban pasir sepanjang 400 meter sejak Rabu lepas sebagai inisiatif mengekang air laut daripada melimpah ke kawasan kampung berikutan fenomena itu.
“Ini hari kelima kita buat ban pasir… kita tambah guni pasir hari ini kerana kita jangka esok pagi dan seterusnya paras air laut lebih tinggi berbanding hari ini,” kata wakil penduduk, Shamsul Nizam Mohd. Nor.
Selain menambah ban, penduduk kampung itu juga membuat pemantauan 24 jam secara bergilir-gilir sebagai langkah bersiap sedia sekiranya air laut melimpah ke kawasan darat. – Bernama