Pelantun lagi Aku Suka Dia, Ainan Tasneem memberitahu bakal berkahwin dengan seorang jurutera yang dikenali sebagai Ariff pada 7 Januari depan.
Ainan atau nama sebenarnya Ainan Tasneem Ridzuan, 24, berkata, dia menerima lamaran selepas dua bulan mengenali pemuda berkenaan menerusi seorang rakan.
“Saya buat keputusan untuk menerima lamaran dia (Ariff), walaupun kami baharu sahaja berkawan sejak dua bulan lalu.
“Saya buat solat ikhtiharah setiap hari dan yakin dengan keputusan ini. Lagi pula kami memilih untuk mengenali lebih dekat selepas berkahwin nanti,” ujarnya.
Majlis pernikahan akan diadakan sebelah pagi pada 7 Januari di Hotel Blue Wafe Shah Alam, manakala majlis resepsi di lokasi yang sama pada sebelah petang.
Ainan berkata, urusan untuk berumah tangga berjalan lancar dan dipermudahkan selepas kedua-dua pihak keluarga memberi restu untuk berkahwin.
Katanya, dia yakin dengan keikhlasan dan tanggungjawab yang ditunjukkan lelaki tersebut dalam menjaga ibu dan ahli keluarga yang lain.
“Semuanya berjalan dengan pantas dan Allah telah dipermudahkan urusan kami, keluarga kedua-dua belah pihak juga setuju dan mahu ia dilangsungkan dalam tempoh tiga bulan dari sekarang.
“Saya juga sudah bersedia untuk berkahwin kerana sebelum ini saya banyak kali bercinta dan gagal di tengah jalan,” ujarnya.
Sementara itu, Ainan berkata, dia juga mengambil keputusan untuk berhenti menjadi seorang penyanyi selepas bergelar isteri.
Katanya, keputusan tersebut juga sudah dimaklumkan kepada pihak pengurusannya MVM Music walaupun masih lagi mempunyai empat bulan kontrak bersama syarikat berkenaan.
“Saya yang buat keputusan untuk berhenti menyanyi selepas berkahwin dan saya sudah maklumkan hal ini kepada syarikat rakaman.
“Kontrak saya dengan MVM hingga April tahun depan dan rasanya mereka juga tidak menghalang pendirian saya ini,” ujarnya.
Ainan berkata, dia akan menyambung pelajaran ke peringkat PhD dan mengejar cita-cita sebagai seorang pensyarah, memetik laporan mStar Online.