Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok dituduh ‘menyatakan secara umum permusuhan kepada, menyalah guna dan menghina’ agama yang boleh dikenakan hukuman sehingga lima tahun penjara di Indonesia.
Tahap keselamatan adalah ketat di Mahkamah Daerah Jakarta Utara dengan ratusan umat Islam konservatif yang berpakaian putih berkumpul di luar mahkamah untuk menuntut Purnama dipenjarakan.
“Saya faham pertuduhan tetapi saya tidak faham kenapa dituduh kekufuran,” kata Purnama selepas pendakwa raya membacakan surat pendakwaan.
Mengikut undang-undang Indonesia, defendan tidak perlu membuat rayuan pada permulaan sesi perbicaraan.
Dakwaan kekufuran tersebut berpunca daripada kenyataan yang dibuat oleh Purnama pada bulan September yang lalu dengan berkata lawannya menggunakan ayat Al-Quran untuk menipu pengundi.
Sesetengah umat Islam mentafsirkan teks Al-Quran berkenaan sebagai melarang mereka daripada memilih orang bukan Islam sebagai pemimpin walaupun ada pihak yang lain tidak bersetuju kenyataan Purnama itu adalah kufur.
Ketegangan meningkat di Jakarta selepas lebih 100,000 umat Islam berhimpun pada 4 November menuntut pendakwaan Purnama yang merupakan ahli minoriti Cina etnik.
Himpunan anti-Purnama kedua berlaku pada 21 Disember dengan kehadiran lebih daripada 200,000 peserta.
Purnama menjadi gabenor Jakarta yang pertama beragama Kristian dalam tempoh 50 tahun apabila beliau mengambil alih dari Joko Widodo yang kini menjadi presiden Indonesia pada tahun 2014.- dpa