KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka menyatakan pendiriannya menyokong perjuangan Hamas.Katanya, sokongan tersebut adalah atas nama perjuangan kemanusiaan yang dituntut oleh kumpulan itu.
“Secara peribadi saya terus terang saya pendokong kepada Hamas. Ia bukan hanya retorik malah saya buktikan dengan menjemput rakan daripada Hamas.
“Kami bukan pendokong keganasan, tapi kami pendokong perjuangan Hamas atas nama kemanusiaan dan keadilan sejagat saya tidak ada dakwa dakwi soal ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Misi Bantuan Kemanusiaan Kecemasan Malaysia Ke Gaza yang digerakkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain.
Menurut beliau, isu Palestin yang menjadi tumpuan dunia amat dekat di hatinya kerana ia jelas melibatkan aspek kemanusiaan dan penindasan.
“perjuangan kami (saya dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) sama iaitu memperjuangkan sejagat dan manusiawi Palestin terlalu dekat di hati kami,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mengumumkan bantuan dana kepada MAPIM sebanyak RM1 juta untuk Misi Bantuan Kemanusiaan Kecemasan Malaysia Ke Gaza.
Beliau berharap agar bantuan tersebut dapat membantu NGO berkenaan dalam proses penghantaran bantuan ke Gaza.-MalaysiaGazette