Beliau berkata, satu keputusan dibuat pakar perubatan hari ini dan dipersetujui anggota keluarga agar Ahmad Bashah dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang.
“Setelah dimaklumkan hari ini bahawa Ahmad Bashah akan dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang, saya segera mengarahkan para pegawai saya membuat persiapan bagi membantu proses itu,” katanya apabila dihubungi semalam.
Ahmad Bashah dikatakan dibawa dengan ambulans ke Hospital Pulau Pinang pada 3.44 petang dari Kedah Medical Centre (KMC) di Alor Setar.
Beliau diiringi anak perempuannya, Azira Hafiza. Semalam, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Bakar Din memberitahu sidang akhbar bahawa Ahmad Bashah mengalami komplikasi usus, tetapi tidak serius dan berada dalam keadaan stabil.
Dr Zailan berkata tempoh Ahmad Bashah berada di Hospital Pulau Pinang akan bergantung pada penilaian pakar di sini.
Menurutnya, Ahmad Bashah akan diberi rawatan sewajarnya dan beliau berharap menteri besar itu juga akan mendapat rehat yang diperlukannya.
“Kami berharap tiada sesiapa dibenarkan melawat supaya pesakit dapat menikmati rehat sewajarnya ketika menerima rawatan,” katanya.
Ahmad Bashah dimasukkan ke KMC setelah beliau pitam ketika mengadakan mesyuarat dengan anggota dewan undangan negeri Kedah di Hotel Grand Alora, Alor Setar pada kira-kira 7 malam Sabtu. – Bernama